BERITA TERKINI   Keputusan 40 peratus hasil Sabah muktamad, tiada rayuan difailkan, Kerajaan MADANI kekal komited tunai tuntutan di bawah MA63 - PM Anwar | Penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini - TPM Fadillah | Bekalan gas dalam negara stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa. - TPM Fadillah | Sebanyak 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa - TPM Fadillah | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.525 juta kepada lima pondok, pusat tahfiz di Sabah bagi naik taraf infrastruktur - PM Anwar | 

MBSB Investment Jangka Momentum Pembelian Hartanah Berterusan Pada 2026

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd mengekalkan tinjauan positif terhadap sektor hartanah, menjangkakan minat belian yang kukuh akan menyokong prospek pemaju.

Bank pelaburan itu berkata jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah secara amnya tidak berubah pada RM55.3 bilion pada November 2025, meningkat hanya 0.14 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan kenaikan bulanan tiga kali berturut-turut dari Ogos hingga Oktober, menunjukkan bahawa minat belian dalam pasaran hartanah kekal stabil.

Secara bulanan, permohonan menurun 8.3 peratus pada November berbanding 9.6 peratus yang dicatatkan pada Oktober, mencerminkan turun naik buat sementara waktu dalam permintaan hartanah.

Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman untuk sebelas bulan pertama 2025 mencecah RM605.7 bilion, naik 3.08 peratus tahun ke tahun, dilihat berada di landasan yang betul untuk melabuhkan tirai tahun ini dengan pencapaian terbaik susulan pertumbuhan 4.85 peratus pada tahun 2024.

“Secara keseluruhan, minat membeli hartanah kekal berdaya tahan dan kami menjangkakan momentum akan berterusan pada 2026 memandangkan prospek positif sektor ini,” kata MBSB Investment dalam satu nota penyelidikan hari ini.

MBSB Investment Bank berkata aktiviti korporat oleh pemaju baru-baru ini termasuk penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) oleh IOI Corporation dan SP Setia, diunjur akan meningkatkan sentimen dalam saham hartanah.

MBSB Investment memberi tumpuan kepada Mah Sing dengan menyatakan prospek pertumbuhan yang disokong oleh pendedahan hartanah perindustrian secara meluas menerusi usaha sama baru-baru ini dengan KLK Land, prospek itu disokong lagi oleh jualan rumah mampu miliknya yang stabil.

Bagi Matrix Concepts, jualan stabil di Bandar Sri Sendayan dijangka menyokong pendapatan jangka pendek, manakala pengambilalihan Horizon L&L mengukuhkan kehadirannya di Lembah Klang.

Sementara itu, pelancaran projek pertama UOA Development di Johor dijangka meningkatkan jualan hartanah pada tahun kewangan 2026.

-- BERNAMA