AirAsia X Dinamakan Semula Sebagai AirAsia Pada 19 Januari - Tony Fernandes
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- AirAsia X akan dinamakan semula sebagai AirAsia dan disenaraikan sebagai saham baharu pada 19 Januari, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.
Fernandes menerusi catatan di LinkedIn hari ini berkata Capital A akan mengemukakan permohonan untuk keluar daripada status PN17 pada hari yang sama, dengan perbicaraan mahkamah terakhir dijadualkan pada 21 Januari.
“AirAsia akan menjadi satu kumpulan syarikat penerbangan dan satu jenama. Kami akan menggabungkan AirAsia X dan AirAsia sebagai satu kumpulan syarikat penerbangan dengan matlamat untuk berkembang di peringkat global.
“Dengan hab kami yang mengujakan di Bahrain, kami akan mewujudkan edisi tambang rendah di Emiriah Arab Bersatu dan Qatar serta meliputi semua benua,” katanya.
Fernandes berkata syarikat itu sedang memuktamadkan tempahan pesawatnya, yang akan mengurangkan kos dan meningkatkan margin melalui perancangan kumpulan pesawat yang lebih baik.
Sementara itu, Capital A dalam kenyataan berkata, melalui penstrukturan semula yang hampir selesai, kumpulan itu akan meningkatkan penglibatan dengan penganalisis dan pelabur.
“Kumpulan bercadang untuk memulakan siri jelajah pelabur domestik dan antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk menyampaikan visi pasca penstrukturan semula berpacukan lima perniagaan teras -- penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, logistik, agensi pelancongan dalam talian, makanan dan minuman serta penjenamaan,” katanya.
Selain itu, Capital A merancang untuk menganjurkan Hari Pelabur selepas berakhirnya suku keempat, apabila prestasi syarikat pada 2025 dapat dilihat dengan jelas dan menyeluruh berdasarkan keputusan yang belum diaudit.
Katanya langkah itu bertujuan memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai segmen perniagaan kumpulan, keutamaan kewangan dan pelan penciptaan nilai jangka panjang.
-- BERNAMA