BERITA TERKINI   UEC: Sebarang pengiktirafan mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan - Ahmad Zahid | Pemerkasaan pendidikan tahfiz di pelbagai peringkat, bukti komitmen kerajaan bina generasi Huffaz Profesional - Ahmad Zahid | Liga Super: Kelantan TRW FC 3-2 Sabah FC | Liga Super: Terengganu FC 1-0 DPMM FC | 

Bursa Malaysia Naik 8.74 Mata, Teruskan Momentum Meningkat Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi ini dengan mengekalkan momentum peningkatannya, didorong oleh belian berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan dan berkaitan pengguna.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 8.74 mata kepada 1,704.18 berbanding 1,695.443 pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama yang dibuka naik 5.30 mata pada 1,700.74 turut bergerak dalam julat 1,698.79 dan 1,705.54 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran sebaliknya kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 502 berbanding 464 manakala 520 kaunter tidak berubah, 1,152 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.08 bilion unit bernilai RM1.62 bilion.

Dalam nota tinjauannya, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan indeks utama itu akan bergerak menguji paras psikologi 1,700 dalam tempoh terdekat.

Firma pembrokeran itu berkata kalangan pemain pasaran turut memberi tumpuan terhadap cadangan Sunway Bhd untuk mengambil alih IJM Corporation Bhd menerusi urus niaga tunai dan saham bernilai RM11 bilion yang membayangkan premium sebanyak 15 peratus berbanding harga niaga terkini IJM.

“Kami melihat transaksi ini sebagai sesuatu yang positif kerana kumpulan yang lebih besar itu akan mempunyai gabungan nilai pembangunan kasar kira-kira RM118 bilion serta nilai perolehan kontrak belum siap yang kukuh iaitu sekitar RM13 bilion,” katanya.

Bagi IJM pula, janji niaga itu menawarkan peluang realisasi nilai yang segera manakala Sunway mendapat manfaat daripada keupayaan pelaksanaan yang lebih ketara dan pada kedudukan lebih kukuh bagi merebut peluang projek infrastruktur berskala besar, pusat data dan perindustrian di masa depan.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lapan sen kepada RM11.02, Public Bank menokok empat sen kepada RM4.63, CIMB meraih sembilan sen kepada RM8.30 dan Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM13.74 manakala IHH susut satu sen kepada RM8.54.

Bagi kaunter paling aktif, MMAG naik setengah sen kepada 6.5 sen, Semico meningkat 23.5 sen kepada 48.5 sen, IJM meraih 10 sen kepada RM2.85 dan Pharmaniaga meningkat 1.5 sen kepada 30 sen manakala Ingenieur turun setengah sen kepada 3.5 sen.

Kaunter paling untung didahului Hong Leong Industries yang naik 30 sen kepada RM16.96, Spritzer meningkat 16 sen kepada RM2.98, PMB Technology meraih 14 sen kepada RM1.43, Bursa Malaysia menokok 15 sen kepada RM8.59 dan Batu Kawan menambah 12 sen kepada RM20.20.

Sebaliknya, kaunter dengan kerugian ketara adalah Petronas Dagangan yang susut 46 sen kepada RM20.22, Nestle turun 30 sen kepada RM119.70, Malaysian Pacific menguncup 28 sen kepada RM32.70, Fraser & Neave berkurangan 16 sen kepada RM36.50 dan United Plantation kehilangan 20 sen kepada RM34.80.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menambah 50.77 mata kepada 12,581.48, Indeks FBM Top 100 meningkat 54.34 mata kepada 12,373.93, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 12.26 mata kepada 12,329.13.

Selain itu, Indeks FBM Mid 70 menambah 36.39 mata kepada 17,593.58 namun Indeks FBM ACE susut 15.27 mata kepada 4,989.51.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 168.65 mata kepada 20,354.91, Indeks Tenaga naik 0.82 mata kepada 785.29, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.52 mata kepada 173.49 manakala Indeks Perladangan turun 41.64 mata kepada 8,618.64.

-- BERNAMA