BERITA TERKINI   Sehingga 10 Feb 2026, sebanyak RM5.4 bilion bayaran balik telah dibuat bagi tahun taksiran 2023 melibatkan 38,629 kes - Amir Hamzah | Sehingga 11 Feb 2026, lebih 14.6 juta rakyat telah menikmati harga RON95 sebagai subsidi di bawah BUDI95 - Amir Hamzah | Kerajaan MADANI melunaskan bayaran balik lebihan cukai bagi 2023-2025 sebanyak RM56 bilion, 50 peratus lebih tinggi daripada 2020-2022, iaitu RM37 bilion - Amir Hamzah | Tiga daripada tujuh pelajar hidap Tibi di Johor telah sembuh - Exco | Kee Ming Group Bhd dibuka dengan premium 41 sen berbanding harga IPO 38 sen, dengan 15.51 juta saham diniagakan dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE | 

Favelle Favco akan Ambil Alih Seram Industries Dengan Janji Niaga Bernilai RM47.45 Juta

KUALA LUMPUR, Jan 12 (Bernama) -- Favelle Favco Bhd merancang untuk mengambil alih Seram Industries SAS yang berpangkalan di Perancis dengan janji niaga bernilai sehingga RM47.45 juta.

Favelle Favco menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata syarikat itu telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat (SPA) dengan Marec Industrie SAS untuk membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Seram Industries SAS.

Janji niaga itu melibatkan harga pembelian awal sebanyak RM36 juta, dengan pertimbangan tertangguh bersyarat sehingga RM12 juta secara tunai.

Favelle Favco berkata sistem kren pengimbang hidraulik berpaten, teknologi pengendalian bahan automatik dan kepakaran kejuruteraan Seram Industries menyediakan peluang dan pertumbuhan strategik kepada syarikat tersebut.

“Peluang dan pertumbuhan dijangka disumbang daripada sektor peralatan sisa perindustrian dan kitar semula, di samping memperkukuh keupayaan teknikal, kecekapan operasi dan daya saing global.

"Pengambilalihan itu juga dijangka mewujudkan peluang jualan silang, menjana sinergi operasi dan meluaskan asas pendapatan dan kehadiran pasaran Favco Group," katanya.

Mengenai prospek pada masa depan, Favelle Favco berkata permintaan terhadap peralatan pengendalian dan kitar semula sisa automatik yang khusus dan cekap tenaga dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur pengurusan sisa dan inisiatif kemampanan di seluruh dunia, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

“Cadangan pengambilalihan ini selaras dengan agenda transformasi perindustrian Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang menekankan penggunaan teknologi, pembuatan termaju dan amalan perindustrian yang mampan.

"Peralatan Seram Industries yang cekap tenaga, automatik dan menumpukan kepada kitar semula sangat sesuai dengan keutamaan pemodenan perindustrian dan ekonomi sirkular Malaysia," katanya. 

Seram Industries yang merupakan anak syarikat milik penuh Marec Industrie mengkhususkan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan, latihan, servis dan penyelenggaraan kren pengangkat dan penghantar elektrik untuk loji pengurusan sisa industri.

-- BERNAMA