AmanahRaya REIT Lantik Jurutaksir Bebas Susulan Insiden Di Help University

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) dalam proses melantik jurutaksir bebas bagi melakukan penilaian menyeluruh membabitkan insiden letupan pemampat penyaman udara di kafeteria HELP University di Bukit Damansara, pagi tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, AmanahRaya REIT berkata seorang maut manakala sembilan lain cedera dalam kejadian itu.

“Ruang kantin terbabit telah dikosongkan dan akses dihadkan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

AmanahRaya REIT berkata pihaknya juga menyalurkan bantuan serta sokongan kepada HELP University dalam tempoh sukar itu.

“Pihak pengurus iaitu AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk polis dan perkhidmatan kecemasan, malah telah menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya.

“Ini termasuk mematuhi semua keperluan serta arahan sepanjang siasatan dijalankan. AmanahRaya REIT akan terus berkongsi maklumat terkini yang telah disahkan, jika ada. Keselamatan dan kesejahteraan semua penghuni, penuntut, kakitangan serta pihak berkepentingan di seluruh aset kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.

Setakat 31 Dis, 2024, HELP University merupakan antara 12 hartanah yang dikendalikan oleh AmanahRaya REIT.

-- BERNAMA