BERITA TERKINI   Sultan Selangor zahir kebimbangan pencemaran berlarutan di Kuala Langat akibat aktiviti penternakan babi - Istana Alam Shah | Sultan Selangor dukacita, tidak setuju kerajaan negeri benar operasi ternakan babi di Tanjong Sepat sebelum pindah ke Bukit Tagar - Istana Alam Shah | Peruntukan tambahan RM5 juta bagi pengurusan, penyelenggaraan Zoo Negara - PM Anwar | PRK: Pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Warisan di DUN Lamag - SPR | PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan babit calon BN, Bebas, Warisan - SPR | 

Sektor REIT Malaysia Positif, Pendapatan Diunjur Tumbuh Pada 9 Peratus -- Maybank IB

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi tahun ini, didorong oleh persekitaran kadar faedah yang stabil serta pemulihan permintaan dipacu oleh pelancongan.

Bank pelaburan itu menyatakan, ketika pertumbuhan pendapatan dijangka kembali sederhana selepas mencatat prestasi kukuh pada 2025, kebolehlihatan pendapatan kekal tinggi disokong oleh kadar penghunian sihat, semakan sewaan yang positif selain pengurusan lembaran imbangan berhemah.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan 2026 sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun, diterajui oleh sektor runcit dan hospitaliti dengan Pavilion REIT dan CapitaLand Malaysia Trust menjadi pilihan utama,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Industri REIT pula dijangka terus memberi sokongan sebanyak lima peratus.

“Asas-asas pejabat kekal mencabar di peringkat pasaran walaupun risiko pendapatan telah dikurangkan bagi REIT yang mempunyai struktur pajakan jangka panjang dan pajakan bersih tiga kali,” katanya.

Maybank IB menyifatkan risiko penurunan utama adalah ketidaktentuan mengenai konsesi cukai pegangan dengan potensi penyusutan hasil selepas cukai antara 50 mata asas hingga 100 mata asas jika tidak dilanjutkan.

Sektor runcit dan hospitaliti menjadi pemacu utama pendapatan sehingga 2026, disokong oleh aliran pengunjung berterusan, inisiatif penambahbaikan aset (AEI) serta kitaran peningkatan pelancongan di bawah program Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Aset-aset industri terus menyumbang pendapatan stabil dengan tempoh jangka panjang dan kepelbagaian portfolio manakala segmen pejabat kekal berdepan cabaran dari segi struktur akibat lebihan penawaran dengan prestasi kian bergantung kepada kualiti aset, profil penyewa dan struktur pajakan.

-- BERNAMA