BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | 

Capital A Gagal Peroleh Kelulusan Bursa Bagi Lanjutan Tempoh Lengkapkan Pengagihan Saham

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Capital A Bhd tidak menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd bagi lanjutan tempoh untuk melengkapkan pengagihan saham yang dicadangkan, namun ia tetap dilaksanakan serentak dengan tawaran saham persendirian AirAsia X Bhd (AAX).

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, seperti yang diumumkan pada 31 Dis, 2025, pengagihan saham tersebut dicadangkan untuk diperuntukkan dan diterbitkan oleh AAX secara serentak dengan tawaran saham yang akan diterbitkan seiring dengan tawaran saham persendirian AAX.

“Lembaga pengarah bercadang untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham yang akan diagihkan itu secepat mungkin apabila ia diperuntukkan dan diterbitkan secara serentak dengan tawaran saham persendirian AAX,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan, ia berkata Capital A meneruskan pengumuman mengenai tarikh kelayakan berdasarkan anggapan iaitu terdapat tempoh mencukupi bagi para pelabur yang dikenal pasti untuk mengemukakan dokumentasi yang diperlukan.

Syarikat itu berkata pada masa pengumuman tarikh kelayakan berkenaan, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan pelabur yang dikenal pasti tidak akan dapat memenuhi tarikh akhir seperti yang ditetapkan oleh AAX.

Katanya, sesuatu yang munasabah untuk menjangkakan tawaran saham persendirian AAX akan diselesaikan dalam tempoh yang diluluskan iaitu selewat-lewatnya pada 31 Dis, 2025, seiring dengan sasaran tarikh penyelesaian AAX.

“Selain itu, pengumuman tarikh kelayakan merupakan langkah yang perlu bagi membolehkan Capital A mengemukakan permohonan tambahan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah sampingan selaras dengan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

“Permohonan ini berkaitan dengan pengurangan modal saham terbitan syarikat susulan pengagihan tersebut yang berjumlah kira-kira RM2.7 bilion, berdasarkan harga pasaran penutup saham AAX sebanyak RM1.62 pada tarikh kelayakan,” katanya.

-- BERNAMA