BERITA TERKINI   Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran dan serangan balas terhadap beberapa negara di Timur Tengah - Kementerian Luar | Kes tembak Komander AKPS: KDN siasat pelbagai sudut termasuk kebarangkalian wujud elemen jenayah terancang, motif dendam - Saifuddin Nasution | Scoot batal penerbangan Singapura-Jeddah-Singapura yang dijadualkan pada 28 Feb - SIA | Pusat khidmat yang bergabung dengan Armada ke-5 AS di Bahrain diserang peluru berpandu - Agensi Berita Bahrain | Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis ke atas Iran, gesa rundingan diadakan - Menteri Luar Mohamad Hasan | 

SST Perkhidmatan Sewaan Diturunkan Kepada 6 Peratus, PMKS Terima Pelepasan Baharu

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) — Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2026 termasuk penurunan kadar cukai perkhidmatan ke atas sewaan atau pajakan daripada lapan peratus kepada enam peratus untuk menyokong pertumbuhan industri.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata had jualan tahunan penyewa dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dikecualikan daripada pembayaran cukai perkhidmatan turut dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.

Menurutnya, PMKS yang baru menubuhkan perniagaan juga akan menikmati pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan bagi tempoh satu tahun bermula dari tarikh pendaftaran syarikat.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberikan pengecualian cukai jualan ke atas bahan mentah atau input yang kritikal dan digunakan oleh pengilang berdaftar, khususnya untuk pengeluaran barangan berkaitan sektor penternakan dan pertanian, sebagai langkah mengawal harga barangan keperluan asas rakyat.

Pengecualian itu meliputi makanan ternakan, baja dan racun perosak, selaras dengan usaha memastikan kestabilan kos pengeluaran dan rantaian bekalan makanan negara.

MOF turut memaklumkan cukai perkhidmatan bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai, 2025 dan tidak mempunyai klausa yang boleh disemak semula yang telah dikecualikan mulai 1 Julai, 2025 sehingga 30 Jun, 2026 diberi lanjutan setahun sehingga 30 Jun, 2027.

Sehubungan ini, perjanjian perkhidmatan pembinaan yang telah ditandatangani sebelum peluasan SST dapat menikmati pengecualian ke atas cukai perkhidmatan selama dua tahun.

Selain itu, perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti surau, masjid, kuil, gereja dan tokong yang bersifat keagamaan dan kerohanian turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.

Ketetapan berhubung penambahbaikan dasar SST itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada hari ini. 

— BERNAMA