BERITA TERKINI   Peruntukan tambahan RM5 juta bagi pengurusan, penyelenggaraan Zoo Negara - PM Anwar | PRK: Pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Warisan di DUN Lamag - SPR | PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan babit calon BN, Bebas, Warisan - SPR | Pusat penamaan calon PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag ditutup 10 pagi | PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag bermula, pusat penamaan calon dibuka 9 pagi | 

Permintaan Domestik, Lonjakan e-Dagang Pacu Sektor Logistik Malaysia – Kenanga Research

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) --Sektor logistik Malaysia terus mencatatkan prestasi lebih baik, disokong oleh permintaan domestik dan aktiviti e-dagang yang berdaya tahan, meskipun pertumbuhan perdagangan secara keseluruhannya sederhana, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus setakat Oktober 2025, berbanding pertumbuhan 9.2 peratus pada 2024.

Sementara itu, lebihan perdagangan kekal tinggi pada RM125 bilion, di bawah sedikit daripada RM139.1 bilion yang dicatatkan pada 2024.

Daya tahan sektor ini didorong terutamanya oleh segmen logistik pihak ketiga yang berorientasikan domestik, yang kurang berdepan cabaran luaran, disokong oleh pertumbuhan kukuh e-dagang.

“Pakar industri mengunjurkan jumlah dagangan kasar e-dagang tempatan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus dari 2024 hingga 2027, mencecah RM1.5 trilion menjelang 2027 daripada RM1.2 trilion pada 2024,” katanya.

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata pemain logistik tempatan seperti SWIFT terus berdepan persaingan sengit daripada pemain China, yang mengehadkan keupayaan mereka untuk memanfaatkan aktiviti perdagangan Malaysia yang kukuh.

Menurutnya, pertumbuhan e-dagang dijangka memacu permintaan terhadap hab pengedaran dan gudang, menyokong penghantaran tepat pada masa, aktiviti perpindahan syarikat, automasi dan ketersambungan sistem yang lebih baik, serta pemencaran gudang untuk mengurangkan kos dan risiko rantaian bekalan.

Namun begitu Kenanga Research memberi amaran bahawa sektor itu akan terus berdepan ketidaktentuan luaran di tengah-tengah ketidakpastian terhadap prospek tarif global dengan menyatakan tarif perdagangan lebih tinggi serta lencongan perkapalan yang berterusan dari Laut Merah telah memberi kesan terhadap perdagangan global, terutamanya di sepanjang laluan Asia-Eropah.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara ekonomi yang mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan berkaitan dengan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, di samping Singapura, India dan Vietnam, yang dapat membantu mengurangkan kesan pemecahan perdagangan.

-- BERNAMA