BERITA TERKINI   Rizab BNM berjumlah US$124.3 bilion pada 15 Dis, mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan | Konflik Kemboja-Thailand: ASEAN mesti lakukan apa sahaja yang perlu untuk kekalkan keamanan dan kestabilan serantau - Mohamad Hasan | Konflik Kemboja-Thailand: Pengerusi ASEAN berduka atas korban awam, konflik berpanjangan - Mohamad Hasan | Pengerusi ASEAN gesa Kemboja, Thailand laksana Perjanjian Damai Kuala Lumpur sepenuhnya dan berkesan - Mohamad Hasan | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur bermula pada 12.14 tengah hari ini. | 

Bank Islam Diiktiraf 2-Star Lister Senarai ESG Select 2025 Pertama UNGCMYB

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd berjaya meraih pengiktirafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus  atau ESG Select List 2025 oleh Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB).

Kejayaan itu menyaksikan Bank Islam diiktiraf sebagai 2-Star Lister atau penyenarai 2 Bintang bagi kecemerlangan untuk kategori The North Star ESG Target Setting dan Future-Fit & Responsible Workforce.

Dalam kenyataannya, bank itu menyifatkan pengiktirafan di bawah kategori North Star ESG Target Setting sebagai mencerminkan kemajuan boleh ukur dan kukuh Bank Islam dalam memajukan kewangan mampan.

“Bank Islam telah melepasi sasaran pembiayaan hijau di bawah pelan strategi perniagaan LEAP25 lebih awal yang menetapkan sebanyak RM4 bilion menjelang 2025.

“Pada 2024, bank ini telah menyusun semula sasaran kewangan mampan 2025 kepada RM28 bilion dan setakat Jun 2025 telah melepasi sasaran baharu itu,” katanya.

Selain itu, pada masa sama, Bank Islam terus memperkasakan agenda Majikan Pilihan melalui inisiatif seperti Program Pembangunan Automasi Proses Robotik (RPA) BITIZEN yang memupuk budaya tempat kerja berteraskan tanggungjawab, keterangkuman dan pembangunan bakat jangka panjang.

Usaha ini turut menyumbang kepada pengiktirafan Bank di bawah kategori Future-Fit & Responsible Workforce. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata pengiktirafan itu mencerminkan kedudukan bank berkenaan sebagai sebuah institusi berdaya tahan dan berpandangan jauh yang menerapkan prinsip ESG dalam strategi terasnya bagi mencapai pertumbuhan mampan, mengukuhkan pengurusan risiko dan mewujudkan nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingannya.

“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Strategi Kemampanan serta Lima Komitmen Kemampanan Bank Islam, pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai berterusan kepada individu, masyarakat dan alam sekitar, dipacu oleh standard ESG yang diiktiraf di peringkat global.

“Penyertaan dalam ESG Select List mengesahkan tumpuan kami untuk membina organisasi yang proaktif, memupuk tenaga kerja bertanggungjawab dan menetapkan sasaran ESG jelas yang menterjemahkan cita-cita kepada hasil yang boleh diukur," katanya.

Mohamed Iran Moriff berkata pengiktirafan itu mengukuhkan daya tahan institusi dan meletakkan Bank Islam bagi pertumbuhan mampan dalam landskap kewangan makin kompleks.

“Bagi pelanggan, ini membina kepercayaan dan menyediakan akses kepada penyelesaian kewangan bertanggungjawab dan inovatif yang disokong oleh etika, kemampanan, prinsip Syariah dan nilai kemasyarakatan.

“Untuk kakitangan, ini memupuk budaya yang menerapkan hala tuju, kebertanggungjawaban dan pertumbuhan berterusan; sementara bagi masyarakat dan rakan kerjasama kami, ia mencerminkan komitmen untuk mewujudkan nilai-nilai yang dikongsi dan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya.

Bank itu juga menyifatkan penyenaraiannya senarai ESG Select itu sebagai petunjuk tadbir urus yang kukuh dan integrasi kemampanan – faktor penting dalam memastikan prestasi kewangan jangka panjang.

Seiring dengan pengakhiran Hala Tuju dan Strategi Kemampanan Bank Islam 2025, bank ini sedang memuktamadkan Strategi Kemampanan 2030 baharu di samping Pelan Peralihan Iklim yang komprehensif.

“Kesemua inisiatif ini digubal bersama untuk mencipta nilai jangka panjang dan memberi impak positif merentasi kategori yang diiktiraf serta seluruh agenda kemampanan dan iklim,” katanya.

-- BERNAMA