Saudia Sasar Tingkat Penerbangan Malaysia-Arab Saudi, Manfaatkan Peranan KLIA

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Saudia Airlines sedang mengenal pasti peluang untuk  meningkatkan kekerapan penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi utama Arab Saudi pada 2026.

Ini seiring usaha Malaysia mengukuhkan peranannya sebagai pasaran pertumbuhan strategik dan “feeder” atau sokongan dalam bentuk perkhidmatan mengangkut penumpang dari lapangan terbang kecil ke hab utama, dalam strategi pengembangan syarikat penerbangan itu di Asia Pasifik.

Pengurus Besar Saudia Airlines bagi Asia Timur dan Australia, Reham K Zarei berkata Malaysia kekal menjadi pasaran utama syarikat penerbangan nasional Arab Saudi itu, disokong oleh permintaan kukuh perjalanan untuk tujuan ibadah atau keagamaan selain peningkatan aliran pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara.

“Pasaran Malaysia terus memaparkan pertumbuhan menggalakkan dan kami sedang meninjau peluang untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan Kuala Lumpur dan Arab Saudi pada 2026 yang seiring dengan permintaan pasaran,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

 

Kepentingan trafik, strategik Malaysia

Potensi pengembangan daripada KLIA itu juga berteraskan pertumbuhan perjalanan dan pengembaraan dua hala.

Beliau berkata pada 2024 misalnya, jumlah ketibaan dari Arab Saudi ke Malaysia meningkat kepada 68,382 orang atau pertumbuhan 23.7 peratus tahun ke tahun, sekali gus menonjolkan daya tarikan Malaysia yang kian ketara dalam kalangan pelancong Arab Saudi serta kepentingannya dalam rangkaian serantau syarikat penerbangan itu.

“Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus berjadual antara kedua-dua negara, kami juga berperanan penting dalam menghubungkan jemaah haji dan umrah dari Malaysia ke Jeddah dan Madinah serta membawa pelancong Arab Saudi menikmati pengalaman mewah, alam semula jadi dan budaya di Malaysia,” katanya.

 

Perkongsian kod perkukuh kesalinghubungan serantau

Nilai strategik Malaysia turut diperkukuhkan lagi menerusi usaha perkongsian kod penerbangan dengan Malaysia Airlines yang diwujudkan pada Disember 2022.

“Menerusi langkah meletakkan kod ‘MH’ Malaysia Airlines bagi perkhidmatan kami ke Jeddah, Riyadh, Madinah dan Kaherah selain kod ‘SV’bagi penerbangan mereka ke Sydney, Melbourne, Adelaide dan Pulau Pinang, kami menawarkan kesalinghubungan serba lancar dan akses lebih baik di serata Asia, Australia dan destinasi utama Arab Saudi, termasuk Madinah dan AlUla,” katanya.

Pada masa sama, Reham juga menyifatkan kerjasama itu sebagai meningkatkan kemudahan perjalanan, memperluas pilihan penerbangan serta menggabungkan hospitaliti tersendiri kedua-dua syarikat penerbangan selain dapat menambah baik liputan rangkaian dan kesalinghubungan.

 

Asia Pasifik teras strategi pertumbuhan

Selain Malaysia, beliau berkata syarikat penerbangan itu juga menganggap rantau Asia Pasifik kekal sebagai teras atau asas pertumbuhan antarabangsa jangka panjang Saudia di bawah Wawasan 2030 Arab Saudi dan menjadi koridor utama bagi pengembangan penumpang dan kargo.

Bagi tempoh separuh pertama 2025, Saudia telah membawa lebih 17.5 juta penumpang di serata dunia dengan peningkatan 7.2 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata Asia Tenggara, khususnya Malaysia, Singapura dan Indonesia, menjadi antara penyumbang kukuh bagi pertumbuhan ini dan mencerminkan permintaan berterusan bagi perjalananan perniagaan, pelancongan serta keagamaan.

Aliran trafik penumpang antarabangsa naik lima peratus kepada lebih 9.6 juta penumpang bagi tempoh sama, didorong oleh peningkatan kesalinghubungan serta pemulihan pengembaraan jarak jauh yang merentasi Asia.

Setakat ini, Saudia Airlines beroperasi ke 21 laluan di serata Asia, termasuk Dhaka, Kuala Lumpur, New Delhi, Manila, Bangkok, Medan, Phuket, Jakarta, Male serta Beijing.  

 

Pengembangan kumpulan pesawat, fleksibiliti rangkaian

Dalam usaha menyokong pelan pengembangannya, Reham berkata Saudia sedang melaksanakan antara program pengembangan kumpulan pesawat terbesar dalam sejarahnya yang melibatkan 117 pesawat baharu.

“Pemodenan kumpulan pesawat ini, diterajui oleh pesawat jenis Boeing 787 Dreamliner, dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, fleksibiliti laluan dan sokongan bagi kekerapan lebih ketara di serata pasaran jarak jauh, termasuk Asia Pasifik,” katanya.

Sejajar usaha memantapkan lagi produk dan kabinnya, beliau berkata syarikat penerbangan itu kerap menganjurkan bengkel perdagangan selain aktif dalam acara industri besar-besaran seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) -- antara pameran pelancongan utama di Asia Timur.

 

Meninjau laluan baharu, menyambung semula laluan di Asia Tenggara

Sambil menegaskan kepentingan Asia Tenggara sebagai rantau utama pengembangan rangkaian seterusnya, Reham berkata Saudia terus menilai peluang untuk melancarkan destinasi baharu atau bertindak menyambung semula laluan yang pernah digantung, termasuk di Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Kami secara konsisten menilai peluang ini dan meneruskannya apabila kumpulan pesawat serta sumber operasi mengizinkan usaha berkenaan. Ini juga dapat memastikan kami mampu mengekalkan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaan tinggi sebagaimana yang dijangkakan pelanggan,” katanya.

 Mengulas realiti persaingan ketara daripada syarikat penerbangan Timur Tengah lain di Asia, beliau berkata Saudia sebaliknya terus mengukuhkan kedudukan menerusi kebolehpercayaan operasinya, kualiti perkhidmatan dan kedalaman rangkaian atau jaringan berkaitan.

“Syarikat penerbangan ini terus mencatatkan prestasi ketepatan masa pada 89.6 peratus dan di kedudukan pertama global oleh Cirium pada Mac dan Jun 2025,” katanya.

Saudia turut diiktiraf sebagai “World Class Airline 2026” oleh Airline Passenger Experience Association atau Persatuan Pengalaman Penumpang Syarikat Penerbangan (APEX) bagi tahun kelima berturut-turut untuk tumpuannya terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan pengalaman penumpang.

 

 

Malaysia, Asia Tenggara antara pemacu prospek 2026

Bagi kemajuan masa depan, Rahem berkata Malaysia dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya dijangka berperanan lebih besar dalam pertumbuhan penumpang dan hasil syarikat Saudia pada 2026.

Ini menerusi sokongan dari segi peningkatan kekerapan penerbangan, aliran trafik “feeder” yang lebih kukuh serta permintaan berterusan antara Asia dan Arab Saudi.

“Saudia berharap dapat meningkatkan kekerapan penerbangan di pasaran utama Asia Tenggara, selain meneroka peluang memperkenalkan perkhidmatan ke destinasi baharu yang berpotensi tinggi di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata Asia Tenggara telah menjadi rantau khidmat sokongan yang kukuh bagi rangkaian globalnya dengan Malaysia kekal penting untuk strategi meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pertumbuhan mampan.

Syarikat yang ditubuhkan pada 1945 dan bermula sebagai Saudi Arabian Airlines dan kini dikenali Saudia Airlines, mengendalikan lebih 140 kumpulan pesawat yang merangkumi jenis Boeing B777-368ER, Boeing B787-10 Dreamliner, Boeing B787-9 Dreamliner, Airbus A330-300, Airbus A321, Airbus A320 serta Airbus A320ceo.

-- BERNAMA