Ringgit Ditutup Rendah Sedikit Berbanding Dolar Akhiri Kenaikan Empat Hari Berturut-turut
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Rabu mengakhiri peningkatan empat hari berturut-turutnya apabila sesetengah peniaga mengambil keuntungan.
Pada 6 petang, ringgit susut sedikit kepada 4.0855/0940 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0835/0875 pada Selasa.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bagaimanapun berkata ringgit mencatatkan prestasi yang sangat baik hari ini apabila ia terus meningkat berbanding mata wang lain.
"Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura pada penutup dagangan hari ini. Tumpuan data seterusnya adalah indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluar esok," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ringgit mencecah paras 4.0795 pada sesi awal pagi ini berbanding dolar AS, prestasi paling kukuhnya dalam tempoh hampir lima tahun ketika para peniaga dan pelabur menilai isyarat bercampur-campur daripada data pasaran buruh AS semalaman.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain
Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.4439/4553 daripada 5.4760/4813 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 2.6267/6321 daripada 2.6372/6400, dan menokok sedikit berbanding euro kepada 4.7866/7965 daripada 4.8014/8061.
Sementara itu ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1614/1682 daripada 3.1657/1691, tetapi susut berbanding baht Thai kepada 12.9657/9989 daripada 12.9532/9721, merosot sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 244.7/245.3 daripada 244.6/245.0 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.96/6.97 daripada 6.95/6.96 sebelumnya.
-- BERNAMA