Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Berikutan Tekanan Jualan Berterusan
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah ketika tengah hari pada Rabu susulan aktiviti penjualan saham wajaran tinggi terpilih yang berterusan, meskipun bursa serantau mencatatkan momentum peningkatan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.74 mata atau 0.53 peratus kepada 1,639.57 daripada 1,648.31 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 2.99 mata lebih rendah kepada 1,645.32 dan bergerak antara 1,639.13 hingga 1,646.66 sepanjang sesi dagangan.
Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 436 berbanding 393, manakala 510 kaunter tidak berubah, 1,437 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.38 bilion unit bernilai RM932.11 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan indeks penanda aras meneruskan pergerakan lemah berikutan kekurangan petunjuk baharu, seiring dengan sentimen hambar di Wall Street.
“Bagaimanapun, kami yakin aktiviti memperelok akaun yang berterusan mungkin mengehadkan risiko penurunan,” tambah firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.28, Public Bank turun lima sen kepada RM4.42, CIMB menguncup tujuh sen kepada RM7.91, IHH Healthcare merosot 19 sen kepada RM8.53, manakala Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM13.18.
Antara saham paling aktif, Velesto dan V.S Industry masing-masing meningkat setengah sen kepada 28 sen dan 49 sen. Tanco naik satu sen kepada RM1.16, manakala Zetrix AI turun satu sen kepada 80 sen dan Top Glove kekal pada 63.5 sen.
Antara saham paling untung ialah Malaysian Pacific Industries yang melonjak 50 sen kepada RM32, Hong Leong Industries meningkat 22 sen kepada RM15.90, UMS Integrated menambah 17 sen kepada RM4.35, manakala UWC serta Fraser and Neave masing-masing naik 10 sen kepada RM4.07 dan RM35.58.
Antara saham paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong yang susut 34 sen kepada RM19.46, Allianz Malaysia dan United Plantations masing-masing turun 14 sen kepada RM19.98 dan RM28.80, manakala Westports merosot 13 sen kepada RM5.61.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 47.81 mata kepada 12,051.39, Indeks FBMT Top 100 merosot 53.62 mata kepada 11,847.21, Indeks FBM Mid 70 kurang 32.46 mata kepada 16,586.14 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 22.81 mata kepada 11,887.69, manakala Indeks FBM ACE turun 3.38 mata kepada 4,740.80.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 2.29 mata kepada 762.35, manakala Indeks Perladangan turun 16.75 mata kepada 8,163.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 134.77 mata kepada 19,181.30 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.11 mata kepada 169.38.
-- BERNAMA