BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Skuad gimnastik berirama negara raih emas acara berpasukan | 

MRC Tawar Pakej Insentif Bagi Penembusan Pasaran Bukan Tradisional Mulai 2026

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) menawarkan 20 pakej insentif mulai tahun depan, termasuk geran bernilai sehingga RM30,000 bagi setiap penyertaan dalam pameran perdagangan untuk meneroka pasaran membangun seperti Timur Tengah dan Eropah Timur.

Langkah itu merupakan usaha untuk mengurangkan kebergantungan industri produk getah negara kepada pasaran konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan berkata usaha itu dilaksanakan untuk memberi sokongan menyeluruh kepada syarikat yang mengeluarkan produk getah di Malaysia dan akan diberkan secara khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Menerusi insentif yang merangkumi promosi pasaran, pensijilan, pematuhan piawaian antarabangsa, pembangunan modal insan, kesiapsiagaan eksport dan meningkatkan daya saing, kita akan membuka peluang baharu dan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata insentif itu memberi tumpuan kepada penerokaan pasaran bukan tradisional, termasuk Timur Tengah dan Eropah Timur, selaras dengan usaha mempelbagaikan destinasi eksport industri produk getah Malaysia.

Muhammad Eizaaz berkata selain insentif, MRC akan meneruskan dan memperluas Program Pathfinder sebagai pendekatan berstruktur untuk membantu syarikat tempatan yang belum pernah mengeksport atau menembusi pasaran antarabangsa.

“Program Pathfinder disasarkan kepada syarikat yang belum bersedia untuk mengeksport produk mereka dan MRC akan membantu sehingga mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa.

“Jadi, program ini yang kita sedang laksanakan dan akan diteruskan, serta peluasan skop ini akan merangkumi sektor berkaitan dengan produk lateks selain sarung tangan," katanya.

Beliau berkata pemeteraian perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) Malaysia-Emiriah Arab Bersatu, turut dijangka memperkukuh akses pasaran melalui pengurangan tarif dan pemudahan perdagangan di Timur Tengah. 

MRC juga merancang penyertaan dalam beberapa pameran perdagangan utama di rantau Timur Tengah, termasuk Ekspo Kesihatan Dunia (WHX) Dubai, Automechanika Dubai, Big 5 Global serta Pameran Kesihatan Global di Arab Saudi, untuk meningkatkan pasaran produk getah Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata bagi Eropah Timur, Poland dikenal pasti sebagai pintu masuk strategik, khususnya bagi produk berkaitan automotif, perubatan dan komponen berasaskan getah.

“Poland bukan sahaja pasaran yang berkembang pesat, malah juga berperanan sebagai hab untuk menembusi pasaran Eropah Timur yang lebih luas.

“MRC juga akan mengadakan lawatan kerja ke Poland pada 2026 untuk melihat secara lebih teknikal berkenaan dengan peluang yang ada dan sebarang halangan yang mungkin kita hadapi jika kita menembusi pasaran Eropah Timur,” katanya.

Selain menyokong pembangunan industri, MRC turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan peranannya sebagai agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Antara inisiatif utama CSR termasuk penyelarasan sumbangan lebih 39 juta keping sarung tangan getah semasa pandemik COVID-19 serta sokongan misi kemanusiaan ke Palestin pada 2023, di samping penglibatan pascapandemik dalam program sosial berteraskan konsep Malaysia MADANI.

--BERNAMA