Misi Perdagangan Dan Pelaburan Jana Potensi Pelaburan Lebih RM493 Bilion Sejak 2023 - Liew
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sejumlah 37 misi perdagangan dan pelaburan (TIM) termasuk lawatan rasmi yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara berjaya menjana potensi pelaburan berjumlah RM493.64 bilion melibatkan 181 projek dari 2023 hingga 2025.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata daripada jumlah itu, sebanyak 52 projek dengan pelaburan bernilai RM123.8 bilion telah diluluskan manakala 38 projek bernilai RM48.9 bilion disasarkan untuk dimuktamadkan pada tahun ini.
“Selebihnya sebanyak RM320.9 bilion dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh 2026 hingga 2028,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai rekod kejayaan pelaburan hasil lawatan luar negara sejak 2022 hingga 2025.
Sementara itu, Liew berkata bagi menjamin kesan limpahan secara holistik dan nyata hasil daripada pelaburan di Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang menjalani proses transformasi.
“MIDA bukan sahaja agensi penggalakan pelaburan negara tetapi yang lebih penting memperkasakan aspek pemantauan terhadap pelaburan yang diluluskan untuk memastikan pematuhan pelabur kepada syarat yang ditetapkan supaya benar-benar memberi kesan limpahan ekonomi yang maksimum selaras dengan Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF).
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang Pembangunan Perindustrian dan menambah baik Akta MIDA untuk meningkatkan keberkesanan dalam memantau dan memastikan limpahan kepada industri dan ekonomi tempatan,” katanya.
-- BERNAMA