BERITA TERKINI   Ketegangan sempadan Kemboja-Thailand : Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN ditangguhkan kepada Isnin (22 Dis) - Wisma Putra | Kerajaan yakin rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung isu FGV akan dapat dicapai demi kepentingan peneroka - TPM Ahmad Zahid | 53.9 peratus lepasan SPM pilih sektor TVET, hampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK13 - TPM Ahmad Zahid | Konflik Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual esok, ditangguhkan - PM Anwar | Rundingan sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja – PM Anwar | 

Persekitaran Stabil, Dasar Konsisten Dan Sokongan Pacu Kemajuan PKS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang dianggap sebagai tulang belakang ekonomi menunjukkan perkembangan pada tahun ini selepas dipacu oleh persekitaran ekonomi yang lebih stabil dan pemulihan secara beransur dalam permintaan domestik, yang meningkatkan keyakinan perniagaan serta jualan di seluruh sektor. 

Gabungan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemajuan, terutamanya kejelasan dasar kerajaan yang konsisten dan pembaharuan yang boleh dijangkakan dalam bidang seperti rasionalisasi subsidi, penyatuan fiskal serta strategi perindustrian MADANI, mengukuhkan keyakinan PKS dalam perancangan mereka ke arah masa depan.

Di samping itu, pengembangan dalam sokongan kerajaan yang bersasar termasuk ruang pembiayaan PKS, program promosi eksport dan fasilitasi khusus industri, membantu perniagaan mengemudi cabaran aliran tunai serta pasaran. 

Di samping itu, trajektori menaik mereka juga dibantu dengan permintaan pengguna yang semakin mantap dalam sektor terpilih seperti runcit, makanan dan minuman, logistik, perkhidmatan profesional serta subsektor pembuatan tertentu, terutamanya selepas inflasi mula berkurangan.

 

Sokongan dan Kemajuan Pendigitalan PKS

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng memberitahu Bernama bahawa walaupun PKS sedang mencatatkan kemajuan tahun ini, prestasi mereka tetap tidak sekata, dengan perniagaan mikro dan kecil, terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masih berhadapan dengan margin yang agak terhad, masalah buruh serta penerimaan pendigitalan yang masih perlahan.

Beliau ketika mengulas mengenai pendigitalan PKS memberitahu ia bertambah baik pada 2025, walaupun kemajuannya masih tidak merata di seluruh sektor dan saiz.

"Penambahbaikan yang paling ketara boleh dilihat dalam pembayaran digital dan penerimaan e-dagang, perakaunan dan pendigitalan upah, automasi peringkat awal dalam pembuatan dan logistik serta penggunaan perancangan sumber perusahaan berasaskan awan (ERP) di kalangan PKS pertengahan. 

"Inisiatif kerajaan yang berfungsi dengan baik adalah seperti Geran Pendigitalan PKS, pembiayaan Pembuatan Pintar dan Automasi melalui SME Bank, Teknologi Kerajaan (GovTech) serta sokongan perpindahan e-invois," katanya.

Ng berkata potongan cukai 50 peratus yang baru diumumkan untuk kecerdasan buatan (AI) termasuk latihan keselamatan siber menunjukkan kerajaan serius mengenai kemahiran bernilai tinggi, yang telah membantu meningkatkan kesedaran pematuhan digital dan ini wajar diteruskan. 

“Pendigitalan bukan projek setahun, ia adalah transformasi berbilang tahun, terutamanya untuk firma yang lebih kecil. Kami mengesyorkan geran ini diperluaskan bagi menampung alat berasaskan langganan, membahagikan penghantaran melalui bank-bank dan persatuan industri, selain memudahkan proses untuk PKS mikro," katanya.

 

Cabaran dan Pencapaian 

 

Katanya, 2025 telah menjadi tahun yang penting kepada PKS memandangkan Malaysia yang merupakan pengerusi ASEAN telah membuka pintu untuk integrasi serantau yang lebih besar, dengan inisiatif utamanya adalah rangka kerja fasilitasi rentas sempadan ASEAN yang akan datang dan perjanjian rangka kerja ekonomi digital, kedua-duanya dijangka akan memperdalamkan perdagangan antara ASEAN.

“SAMENTA, bersama-sama dengan rakan sejawat kami di negara-negara anggota ASEAN yang lain, turut telah menubuhkan Kaukus PKS ASEAN, yang akan mendorong inisiatif sektor swasta untuk mempromosikan perdagangan intra-ASEAN di kalangan PKS kami, memperkasakan pendigitalan dan bekerja dengan matlamat yang sama dalam peralihan hijau dan kitaran,” katanya.

Bagaimanapun, PKS masih menghadapi cabaran yang sama dengan yang ada pada 2024 iaitu kos operasi logistik, utiliti, pematuhan dan buruh yang lebih tinggi. 

“Kami juga menghadapi masalah mudah tunai disebabkan kitaran pembayaran yang agak perlahan dan selera risiko yang lebih berhati-hati di kalangan peminjam. Tekanan pematuhan juga bertambah khususnya dengan jangkaan e-invois, alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta pensijilan industri. Saingan serantau, terutamanya dari Indonesia dan Vietnam, juga turut meningkat,” katanya.

Walaupun demikian, Ng berkongsi beberapa pencapaian yang ketara seperti pengiktirafan Malaysia sebagai hab utama bagi perkhidmatan digital dan kepelbagaian rantaian bekalan dan kemajuan berterusan dalam pembangunan industri halal, terutamanya dalam piawaian serta pensijilan di seluruh ASEAN. 

“Kemajuan Malaysia dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga telah meletakkan PKS di Johor di barisan hadapan peluang pengembangan serantau,” katanya.

 

Unjuran 2026

 

Beliau berkata SAMENTA secara berhati-hati amat optimis mengenai prospek PKS pada tahun depan, yang mana prestasi mereka akan dipengaruhi oleh tiga faktor utama termasuk Belanjawan 2026 yang menyokong dan kestabilan ekonomi.

“Belanjawan 2026 amat menyokong secara berstruktur, dengan fokus yang kuat untuk mewujudkan mudah tunai kepada PKS selain pemacuan peralihan hijau dan penerimaan AI.

“Kami juga melihat ekonomi menjadi agak stabil dengan pengurangan defisit belanjawan dan ketiadaan pengenalan sebarang cukai baharu.

“Sebagai persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, SAMENTA akan terus menyokong PKS untuk menerima pakai pendigitalan, automasi, pensijilan dan perkongsian serantau untuk berkembang lebih cepat berbanding cuba mengekalkan minda domestik semata-mata," katanya.

-- BERNAMA