BERITA TERKINI   10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | Lima kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara lapan tahun dan didenda RM284.3 juta selepas didapati bersalah atas 12 tuduhan pengubahan wang haram | Kerajaan kekalkan bantuan Budi MADANI Diesel RM300 sebulan, bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak - Akmal Nasrullah | 

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat- ASEAN

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC), Duta (Bersara) Brian McFeeters serta delegasi bersempena dengan Misi Perniagaan Malaysia 2026.

Menerusi catatan di laman X, Anwar berkata pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik merentas pelbagai sektor antara Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN, khususnya Malaysia.

"Saya tegaskan bahawa Malaysia terus mempertingkat daya saing negara melalui kerangka ekonomi yang jelas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil," kata beliau.

Anwar berkata usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan, daya tahan ekonomi dan penaiktarafan industri negara, di samping memastikan pelaburan berkualiti terus memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 22 firma dari AS menyertai misi pelaburan di Malaysia bagi meninjau peluang pelaburan merentas pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

McFeeters dilaporkan berkata delegasi beliau terdiri daripada firma merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

-- BERNAMA