Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan Susulan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan susulan aktiviti pengambilan untung, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.
Beliau berkata paras stok simpanan MSM yang tinggi pada November 2025 seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu ini, juga akan menjejaskan sentimen.
Menurut MPOB, inventori MSM Malaysia meningkat sebanyak 17.56 peratus kepada 1.74 juta tan bulan lepas daripada 1.47 juta tan pada Oktober.
“Permintaan fizikal akan datang dari India, Pakistan, Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat,” kata Teh kepada Bernama.
Beliau menambah harga MSM dijangka berada dalam julat RM3,800 hingga RM4,000 minggu hadapan.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng menjangkakan pasaran niaga hadapan MSM diniagakan dengan kecenderungan menurun berikutan kebimbangan berterusan mengenai peningkatan paras stok di negara ini.
Beliau menjangkakan harga berada dalam lingkungan RM3,950 hingga RM4,100 minggu depan.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Disember 2025 susut RM115 kepada RM3,980 setiap tan, Januari 2026 turun RM132 kepada RM4,003 setiap tan dan Februari 2026 turun RM134 kepada RM4,018 setiap tan.
Kontrak Mac 2026 menyusut RM140 kepada RM4,028 setiap tan, April 2026 berkurang RM136 kepada RM4,035 setiap tan manakala Mei 2026 merosot RM134 kepada RM4,034 setiap tan.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 436,257 lot daripada 293,576 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 263,277 kontrak daripada 262,698 kontrak seminggu sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Disember Selatan susut RM120 kepada RM4,030 setiap tan.
-- BERNAMA