Ringgit Terus Melonjak, Cecah 4.09 Berbanding Dolar AS, Paras Tertinggi Sejak April 2021
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum positif apabila melonjak ke paras 4.09 berbanding dolar AS semasa ditutup pada Jumaat, mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh empat tahun tujuh bulan, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang positif.
Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.0945/1005 daripada dolar AS berbanding 4.1040/1105 semasa ditutup pada Khamis.
Mata wang tempatan mengukuh kepada 4.09 hari ini, paras yang kali terakhir dilihat pada 27 April 2021, apabila mata wang tempatan diniagakan kepada 4.0960 berbanding dolar AS ketika ditutup.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2025, mengekalkan momentum positif dalam kesemua sektor.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata angka IPP terkini itu meningkat pada pertumbuhan 6.0 peratus pada Oktober, didorong oleh pengembangan kukuh dalam sektor pembuatan sebanyak 6.5 peratus daripada 5.0 peratus sebelumnya.
“Dalam sektor pembuatan, industri berorientasikan eksport meningkat kepada 7.2 peratus daripada 4.8 peratus, menunjukkan bahawa sektor luaran telah menyokong ekonomi Malaysia.
“Secara ringkas, ekonomi Malaysia telah berkembang pada kadar yang baik. Oleh itu, ia tidak memerlukan sebarang pelonggaran monetari oleh Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat. Ini sewajarnya menyokong nilai ringgit,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4789/4869 daripada 5.4879/4966 semasa ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6264/6304 daripada 2.6333/6375. Bagaimanapun, mata wang itu lemah berbanding euro kepada 4.8037/8107 daripada 4.8025/8101 sebelumnya.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1701/1750 daripada 3.1711/1763 semasa ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 245.9/246.4 daripada 246.1/246.6 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.93/6.94 daripada 6.95/6.97 semalam.
Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9589/9845 daripada 12.9219/9505 sebelumnya.
-- BERNAMA