BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Pekebun Kecil Diingatkan Tidak Terpedaya Dengan Penjualan Baja Tidak Tulen Di Pasaran - MPOB

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pekebun kecil sawit diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan baja tidak tulen di pasaran yang boleh menjejaskan hasil dan menyebabkan kerugian, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata isu baja tiruan semakin membimbangkan kerana ada pembekal didapati menjual baja dengan kandungan nutrien jauh lebih rendah daripada yang diiklankan.

“Mungkin mereka (pekebun kecil) membeli baja yang murah tetapi ditipu oleh pembekal dengan kandungan yang tidak sepatutnya menyebabkan hasil tidak seperti yang diharapkan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia, terbitan Bernama TV hari ini.

Katanya MPOB akan membantu pekebun kecil dari segi memeriksa ketulenan baja melalui Pusat Agronomi Sawit (OPAC) di Lahad Datu, Kluang dan Hulu Paka serta sebuah lagi makmal di Sessang, Sarawak yang sedang disiapkan.

“Isu pembajaan ini penting. Mungkin perlu ada suatu penegasan dari segi memastikan baja yang dibekalkan mematuhi dan sesuai dengan apa yang diiklankan,” katanya.

Beliau berkata pembekal baja juga perlu dipantau untuk mengelak penipuan yang berulang dan akhirnya menjejaskan pengeluaran sawit negara.

Sementara itu, Ahmad Parveez menegaskan keperluan menangani isu pokok tua memandangkan 9.7 peratus kawasan sawit di Malaysia kini terdiri daripada pokok berusia lebih 25 tahun yang menyebabkan hasil berkurangan.

Katanya pokok sawit yang telah melepasi usia optimum bukan sahaja sukar dituai, malah ada yang ditinggalkan tanpa diurus oleh pekebun kecil kerana kos menuai dan buruh yang semakin meningkat.

“Apabila pokok dah berusia lebih 25 tahun dan menjadi terlalu tinggi, mengait akan menjadi agak susah. Kalau upah (pekerja) akan menjadi mahal menyebabkan ada kebun yang dibiarkan begitu sahaja.

“Ini akan beri kesan kepada hasil negara jika tindakan segera tidak diambil,” katanya.

Beliau berkata kos penanaman semula yang mencecah antara RM15,000 dan RM20,000 sehektar menyebabkan ramai pekebun kecil menangguhkan proses tersebut walaupun mereka menyedari pokok tua menjejaskan hasil.

Katanya walaupun estet besar mempunyai pelan penanaman semula sendiri, isu pokok tua lebih ketara dalam kalangan pekebun kecil dan estet berskala kecil yang berdepan dengan kekangan modal dan masalah pewarisan ladang.

Sehubungan itu, katanya beliau menyambut baik usaha kerajaan yang telah memberikan peruntukan untuk program penanaman semula melibatkan pekebun kecil melalui Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) termasuk RM100 juta pada 2024 dan RM50 juta pada tahun ini.

-- BERNAMA