Sektor Perbankan Digital Rintis Laluan Untuk Pertumbuhan 2025, Prospek Kripto Positif
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Lima bank digital berlesen yang dilancarkan pada 2025 telah mengubah semula landskap kewangan digital Malaysia, menandakan peralihan yang jelas ke arah ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan penggunaan teknologi.
Bank-bank digital itu ialah GX Bank Bhd, Aeon Bank Bhd, Boost Bank Bhd, KAF Digital Bank Bhd dan Ryt Bank.
Pada masa yang sama, pasaran mata wang kripto global dijangka mendapat permintaan dan mengekalkan trajektori menaiknya tahun hadapan.
Di Malaysia, prospek untuk mata wang digital terserlah melalui minat awam yang semakin meningkat, penglibatan institusi yang kian berkembang dan perbincangan dasar yang diperbaharui — semuanya mencerminkan peralihan negara yang semakin mendalam ke arah era kewangan berorientasikan digital.
Bank digital menerajui perubahan
Kemunculan lima pemain baharu ini menjanjikan bank digital diterima dengan lebih pantas, mewujudkan persaingan yang lebih sengit, inovasi yang lebih hebat dan merancakkan ekonomi digital, sambil meletakkan tanggungjawab baharu ke atas pihak pengawal selia dan bank tradisional.
Berikutan dengan pelancaran GXBank pada 2023 dan penyertaan Aeon Bank dan Boost Bank pada 2024, KAF Digital Bank mula menyertai senarai itu apabila memulakan operasi pada 8 Ogos, 2025 setelah menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Ryt Bank yang memulakan operasi pada 25 Ogos, 2025 merupakan bank digital pertama negara yang dikuasakan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI), disokong oleh YTL Group dan Sea Ltd dari Singapura.
Sehubungan itu, bank digital semakin menarik imiginasi orang ramai, sekali gus membuka ruang kepada ekosistem kewangan yang lebih kompetitif dan inklusif.
Daripada “poket selamat” dengan faedah yang tinggi untuk simpanan, tawaran mata ganjaran hingga pelbagai keistimewaan lain, banyak bank digital kini menawarkan antara kadar faedah terbaik di pasaran, iaitu sekitar 3.0 peratus hingga 4.0 peratus setahun.
Selain daripada kelebihan itu, AEON Bank dan GXBank turut memeterai kerjasama dengan penyedia insurans untuk membantu golongan yang kurang mendapat perhatian dalam pasaran insurans tradisional.
Menurut pemain industri, bank digital kini mengalihkan tumpuan mereka kepada akaun perniagaan, sekali gus membuka gelombang baharu perkhidmatan yang disesuaikan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat yang lebih besar.
Bank yang sepenuhnya digital tanpa sebarang cawangan ini juga meruntuhkan halangan untuk komuniti luar bandar dan pekerja gig. Pada masa yang sama, analitik yang dipacu AI membolehkan penyelesaian kewangan disampaikan dengan pantas dan tepat, melebihi kemampuan bank konvensional.
Menyokong inisiatif kerajaan
Selain perbankan peribadi, bank digital semakin menyelaraskan perkhidmatan mereka dengan inisiatif kerajaan. Kebanyakan pemain industri percaya bank digital membolehkan pengagihan subsidi dan bantuan tunai yang lebih berkesan dan saksama, menawarkan alternatif kepada saluran tradisional, sama seperti sistem e-dompet atau berasaskan MyKad sedia ada.
Pada awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk merangka dasar yang jika dilaksanakan, akan mengiktiraf secara rasmi mata wang kripto dan teknologi blockchain di Malaysia.
“Kewangan digital sedang berkembang dengan pantas,” kata Anwar sambil menambah Malaysia perlu bergerak cepat supaya tidak terperangkap dalam sistem kewangan lama.
Bagi menyokong hala tuju ini, Malaysia telah memperkenalkan Hab Inovasi Aset Digital untuk menggalakkan inovasi kewangan dalam rangka kerja yang dikawal selia.
Mata wang kripto dan stablecoin
Dalam menunjukkan daya tahan, bank dan sistem kewangan Malaysia secara keseluruhannya tidak terjejas oleh kejatuhan pasaran mata wang kripto baru-baru ini.
Sementara itu, pasaran mata wang kripto global dijangka mengekalkan momentum hingga tahun hadapan, dengan penglibatan institusi berkemungkinan akan bertambah mendalam susulan kemasukan pemain utama yang kukuh sepanjang dua tahun lepas.
-- BERNAMA