Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan peningkatan 13 peratus dalam tahap stok bagi November 2025 berbanding Oktober 2025.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata stok yang berterusan tinggi dan prestasi eksport yang lebih lemah turut memberi kesan kepada sentimen pasaran.
“Harga disokong pada paras melebihi RM4,000 satu tan tetapi menghadapi rintangan sekitar RM4,180 satu tan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 merosot RM31 kepada RM4,000 satu tan, Januari 2026 menurun RM44 kepada RM4,041 satu tan, manakala kontrak Februari 2026 susut RM43 kepada RM4,063 satu tan.
Kontrak Mac 2026 menyusut RM41 kepada RM4,082 satu tan, kontrak April 2026 merosot RM35 kepada RM4,093 satu tan, manakala kontrak Mei 2026 menurun RM30 kepada RM4,094 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 93,865 lot daripada 58,351 lot semalam, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 268,266 kontrak daripada 265,437 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan susut RM10 kepada RM4,080 satu tan.
-- BERNAMA