Virtue Trustee Perkenal Penyelesaian Perlindungan Kekayaan Selari Kerangka MADANI
KUALA LUMPUR,10 Dis (Bernama) -- Virtue Trustee Bhd (VTB) melancarkan beberapa penyelesaian perancangan amanah, amanah Islam dan legasi yang bertujuan menyediakan perlindungan kekayaan yang profesional, terjamin dan telus untuk semua rakyat Malaysia, sejajar nilai teras kerangka MADANI negara.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan perkhidmatannya menyokong pelanggan individu dan korporat, merangkumi pentadbiran harta pusaka, amanah keluarga, amanah hibah, dan pemegang amanah korporat.
“Semua perkhidmatan ini memastikan aset diurus dengan bertanggungjawab, dipelihara merentas generasi dan diagihkan mengikut hasrat pemilik.
“Antara tawaran utama VTB ialah Hibah Amanah, satu mekanisme hibah semasa hidup berasaskan prinsip Islam yang membolehkan individu mengagihkan harta kekayaan ketika masih hidup,” menurutnya.
VTB memaklumkan struktur itu memastikan aset kekal dilindungi, diurus secara profesional dan diagihkan dengan jelas tanpa pertikaian.
Syarikat itu turut menawarkan Takaful Amanah, yang menggabungkan manfaat insurans Islam dengan perlindungan sebuah amanah, memastikan manfaat takaful dipelihara untuk kebajikan benefisiari bagi jangka masa panjang.
Pengerusi VTB Datuk Mazlan Ahmad berkata ramai yang beranggapan penyelesaian amanah hanya untuk golongan sangat kaya.
“Sebenarnya, amanah ialah satu struktur perundangan yang memisahkan pemilikan daripada kawalan, dan diurus secara profesional,” katanya.
Beliau menjelaskan penyelesaian amanah keluarga ialah instrumen pengurusan kekayaan yang mudah diakses oleh orang ramai, boleh dilaksanakan dengan aset milik penuh bermula daripada puluhan ribu ringgit.
“Bagi keluarga Malaysia, amanah keluarga lebih daripada sekadar struktur. Ia merupakan janji untuk keterjaminan dan kesinambungan yang praktikal.
“Amanah keluarga melindungi rumah atau perniagaan keluarga daripada keadaan luar jangka, memastikan kekayaan yang dikumpul digunakan untuk pendidikan dan pencapaian positif, serta menyediakan cara tertutup untuk penyampaian nilai bersama-sama aset,” katanya.
-- BERNAMA