Tangani Isu Unsur Nadir Bumi Negeri-Persekutuan Dengan Majlis Mineral Negara - ISIS
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Penubuhan satu panel semakan di bawah Majlis Mineral Negara (MMN) dilihat wajar bagi menangani perbezaan bidang kuasa dan penguatkuasaan antara pihak berkuasa peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus mengelak penyeliaan berkesan ke atas projek-projek unsur nadir bumi (REE) terjejas.
Langkah itu adalah antara saranan diketengahkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menerusi taklimat dasar terkininya yang bertemakan “From Mine to Magnet” (Daripada Lombong kepada Magnet).
ISIS berkata panel semakan itu juga boleh ditubuhkan dengan mandat untuk meneliti semula cadangan REE pada peringkat awal atau prapembangunan sebelum proses penilaian impak alam sekitar dan skim permohonan operasi perlombongan selain meleraikan sebarang pertikaian dalam pelaksanaan dasar.
“Bagi memastikan panel itu dapat berfungsi, kita perlu melakukan penyelarasan antara badan atau pihak berwajib di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri dari segi projek-projek mineral serta semakan berkaitan.
“Perkara teras bagi perlombongan adalah aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata Penganalisis Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau ISIS Qarrem Kassim kepada Bernama.
Qarrem adalah antara tiga penyelidik yang menghasilkan taklimat dasar itu selain Zayana Zaikariah dan Farhad Ijlal Nizam.
Mengulas selanjutnya, Qarrem berkata mekanisme itu juga harus berperanan sebagai panel semakan bersepadu yang menyamai panel semakan bersama di Kanada yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan wilayah.
Bagi melengkapkannya, beliau berkata penglibatan peringkat negeri dapat diwujudkan menerusi pasukan petugas khas.
Menurutnya, beberapa negeri mempunyai minat mendalam terhadap aspek perlombongan unsur nadir bumi, terutamanya berikutan kedudukan Malaysia dari segi konteks global, sebagai antara beberapa lokasi dunia dengan sumber REE berdaya ekonomi serta berpotensi besar bagi unsur nadir bumi berat.
“Tanpa unsur nadir berat, kita tidak mungkin dapat memenuhi sasaran sifar karbon. Sehubungan itu, kita perlu meneliti perkara ini di peringkat penyelaras negeri serta isunya yang berkaitan dengan Persekutuan.
“Kita juga harus memperhalusinya serta berusaha untuk mewujudkan tindak balas yang berkesan,” katanya.
-- BERNAMA