BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Pengeluaran Dan Eksport Minyak Sawit November Susut 5.30 Serta 28.13 Peratus -- MPOB

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pengeluaran minyak sawit Malaysia (MSM) merosot 5.30 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.94 juta tan pada November 2025 berbanding 2.04 juta tan yang dicatatkan semasa Oktober 2025, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

Eksport minyak kelapa sawit turun 28.13 peratus kepada 1.21 juta tan daripada 1.69 juta tan, kata MPOB dalam laporan November, Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia.

Output isirong sawit pula jatuh 7.43 peratus dari bulan ke bulan kepada 442,266 tan.

Pengeluaran minyak isirong sawit mentah turun 1.35 peratus kepada 207,679 tan, manakala output kek isirong sawit menyusut 1.92 peratus kepada 225,357 tan.

Inventori MSM naik 17.56 peratus kepada 1.74 juta tan pada November, manakala inventori minyak sawit diproses mengukuh sebanyak 6.50 peratus kepada 1.09 juta tan.

"Ini membawa jumlah inventori minyak sawit menjadi lebih tinggi sebanyak 13.04 peratus kepada 2.83 juta tan pada November daripada 2.51 juta tan yang disaksikan pada Oktober," kata MPOB.

Eksport minyak isirong kelapa sawit pula melemah sebanyak 13.20 peratus kepada 87,287 tan, manakala eksport kek isirong sawit mencatatkan kenaikan 5.02 peratus dari bulan ke bulan kepada 228,080 tan.

Eksport oleokimia berkurangan 20.13 peratus dari bulan ke bulan kepada 203,325 tan tetapi eksport biodiesel melonjak 104.79 peratus kepada 47,059 tan. 

"Import MSM pada November adalah sifar manakala jumlah import minyak sawit merosot 61.30 peratus dari bulan ke bulan kepada 3,365 tan berbanding 8,695 tan yang dicatatkan pada Oktober," tambahnya lagi.

-- BERNAMA