BERITA TERKINI   Penerbitan bon lestari dijangka meningkat susulan pertumbuhan pesat pusat data – Moody’s Ratings | Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | 

Matrix Concepts Jual Tanah Di Seremban Pada Harga RM24.61 Juta

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik 85 peratus Matrix Concepts Holdings Bhd, N9 Matrix Development Sdn Bhd, sedang menjual dua bidang tanah kosong bernilai RM24.61 juta di Seremban, Negeri Sembilan kepada Bidara Pesona Sdn Bhd (BPSB).

Pemaju hartanah itu berkata penjualan tersebut dianggap sebagai transaksi pihak yang berkaitan memandangkan, antara lain, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept Datuk Seri Lee Tian Hock mempunyai kepentingan dalam pemegang saham BPSB iaitu Strategic Castle Sdn Bhd dan merupakan Pengarah BPSB. 

Transaksi ini ditanggung sebagai perjalanan biasa perniagaan N9 Matrix dan dijangka selesai dalam tempoh 24 bulan, katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

“Tanah kosong itu yang berkeluasan 1.59 hektar dan 1.78 hektar, menjadi sebahagian daripada projek pembangunan perindustrian MVV Techvalley, N9 Matrix. 

 

 

“Transaksi itu, yang dibuat di atas prinsip kelaziman pasaran adalah didasarkan kepada terma dan harga standard yang dikenakan kepada orang awam serta tidak lebih baik daripada yang biasa ditawarkan kepada pelanggan N9 Matrix, kecuali bagi diskaun yang sejajar dengan dasar jualan standard yang diamalkan oleh N9 Matriks yang turut terpakai kepada semua pembeli yang lain,” katanya.

Matrix Concepts berkata transaksi itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang dikeluarkan dan dibayar oleh syarikat selain tidak dijangka mempunyai kesan material terhadap aset bersih dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026.

“Di samping itu, transaksi berkenaan tidak akan menjejaskan tahap penggearan kumpulan untuk tahun kewangan yang sama,” katanya lagi.

-- BERNAMA