BERITA TERKINI   Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | Pengukuhan ringgit menunjukkan keyakinan terhadap sistem ekonomi negara - PM Anwar | 

Pembayaran Dividen, Pulangan Atas Sekuriti Tinggi Pacu Sektor Perbankan

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Peningkatan pembayaran dividen serta penambahbaikan pulangan ke atas ekuiti (ROE) dijangka menjadi pemacu utama sektor perbankan menjelang 2026, kata  CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam satu nota hari ini, ia berkata meskipun pertumbuhan keuntungan bersih teras sektor itu dijangka terus sederhana, bank-bank tempatan kini beralih daripada fasa pertumbuhan pendapatan kitaran kepada fasa “pertumbuhan berasaskan kecekapan modal” yang dipacu oleh pengoptimuman aset berwajaran risiko (RWA).

“Langkah ini akan mengukuhkan ruang modal dan menyokong pengoptimuman serta pengagihan semula modal dengan lebih berkesan,” katanya.

CIMB Securities berkata Public Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd berada dalam kelompok institusi yang dijangka mendapat manfaat paling besar daripada pengoptimuman modal itu.

Firma penyelidikan itu turut menaik taraf sektor perbankan kepada wajaran tinggi daripada neutral, susulan kenaikan penarafan bagi Malayan Banking Bhd dan AMMB Holdings Bhd, selain semakan naik harga sasaran bagi Maybank, Public Bank, RHB Bank, AMMB dan Hong Leong Bank.

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan keuntungan bank akan kekal mendatar pada suku keempat 2025 berikutan tekanan paling ketara ke atas margin faedah bersih susulan pengurangan kadar dasar semalaman pada Julai 2025 semakin reda.

Selain itu, pendapatan bukan faedah pula dijangka terus menyokong prestasi sektor, dipacu aktiviti pengurusan kekayaan, perbendaharaan dan pertukaran asing, katanya.

-- BERNAMA