BERITA TERKINI   Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | Pharmaniaga akan keluar daripada status PN17 bermula 9 pagi, 17 Mac 2026 - Bursa Malaysia | Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang bakal siap menjelang Disember 2027, beroperasi sepenuhnya Januari 2028 - Amir Hamzah | Projek ECRL capai 92.62 peratus kemajuan pembinaan setakat Feb 2026 selari jadual jajaran dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini, bakal beroperasi secara komersial bermula Jan 2027 - Amir Hamzah | Kerajaan MADANI pantau rapat krisis di Asia Barat serta impaknya terhadap ekonomi dan rakyat, kekalkan asas daya tahan ekonomi negara, pastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Tinggi Susulan Jangkaan Terus Meningkat Terhadap Penurunan Kadar Faedah AS

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Ringgit meneruskan kenaikan dengan ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan jangkaan yang terus meningkat terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.1105/1140 daripada dolar AS berbanding 4.1115/1165 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 9 hingga 10 Disember ini.

"Kebanyakan peniaga dan pelabur menjangka Fed melaksanakan penurunan sebanyak 25 mata asas," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata penggiat pasaran sedang memantau laporan indeks perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS yang tertunda pada September dan akan dikeluarkan lewat malam ini, sekali gus bakal memberikan lebih banyak penjelasan mengenai tinjauan dasar bank pusat Amerika.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4859/4905 daripada 5.4868/4935 semasa ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 4.7912/7953 daripada 4.8014/8075, dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.6536/6561 daripada 2.6555/6589.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1741/1773 daripada 3.1747/1788 semasa ditutup pada Khamis dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 246.8/247.2 daripada 246.8/247.3 sebelumnya.

Ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 6.97/6.98 daripada 6.96/6.98 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9054/9221 daripada 12.8304/8520 semalam.

-- BERNAMA