BERITA TERKINI   Pengerusi BN Sabah Bung Moktar meninggal dunia 1.46 pagi ini di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu - Anak | Kes lemas di Taman Prima Saujana: Seorang meninggal dunia di Hospital Kajang, seorang masih hilang - polis | 

Ewon Mahu Pastikan GLC Kementeriannya Beri Dividen Besar Kepada Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU, 4 Dis (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di kementeriannya berusaha meningkatkan pendapatan supaya dapat memberikan dividen tinggi kepada kerajaan.

Beliau berkata syarikat GLC ini termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang berperanan penting dalam pembangunan keusahawanan serta pelaburan negeri.

“Saya menghargai segala usaha yang telah dilaksanakan sehingga hari ini. Namun, saya juga berharap agar agensi serta anak syarikat di bawah SEDCO dapat mencetuskan kejayaan yang lebih besar supaya sumbangan hasil dalam bentuk dividen dapat dipertingkatkan. 

“Dividen itu penting untuk digunakan bagi tujuan pembangunan Sabah sama ada dikembalikan kepada kementerian ini atau digunakan untuk pembangunan lain seperti pembasmian kemiskinan, pendidikan, kesejahteraan rakyat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan pertama ke Wisma SEDCO di sini hari ini.

Mengenai kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan, Ewon berkata ia perlu dioptimumkan melalui platform penyelarasan yang telah wujud terutama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan bagi memastikan keperluan pembangunan Sabah mendapat perhatian sewajarnya dalam belanjawan Persekutuan.

Ewon berkata fokus utama beliau kini adalah memastikan lebih ramai rakyat Sabah mempunyai pendapatan stabil melalui keusahawanan dan pasaran pekerjaan yang lebih aktif.

“Fokus besar saya di kementerian ini ialah membangunkan lebih ramai rakyat Sabah yang mempunyai pendapatan stabil sama ada melalui keusahawanan atau bekerja dengan syarikat yang dimiliki usahawan tempatan. 

“Saya tidak mahu Sabah terus dikaitkan sebagai negeri yang mempunyai daerah termiskin dan rakyat yang tersenarai dalam kategori miskin. Justeru, pembangunan keusahawanan adalah antara cara untuk memastikan rakyat, graduan serta anak muda mempunyai peluang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Katanya sekiranya semua pelan dilaksanakan dengan baik, Sabah mampu meningkatkan pendapatan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya keluar daripada stigma negeri termiskin.

Pada masa sama, Ewon berkata belanjawan negeri yang akan dibentangkan pada 12 Disember ini dijangka mengekalkan asas rancangan sedia ada memandangkan penyediaannya telah dibuat sebelum pembentukan kabinet baharu. 

-- BERNAMA