JLand Group Terima FDI RM30 Bilion Untuk Projek Pusat Data Fasa Pertama Di IBTEC

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- JLand Group Sdn Bhd (JLG) menerima RM30 bilion pelaburan langsung asing (FDI) untuk fasa pertama projek pembangunan pusat datanya, StepEast yang terletak di Ibrahim Technopolis (IBTEC), Johor.

Pengarah IBTEC Faizal Hussin berkata pembangunan fasa pertama, StepEast telah pun disokong dengan infrastruktur utiliti yang diperlukan.

Beliau berkata StepEast dibekalkan dengan bekalan elektrik melalui pencawang masuk utama (PMU) 275 kilovolt (kV) sedia ada yang mampu membekalkan sehingga 800 megawatt.

“Beralih kepada perluasan kawasan pusat data iaitu StepWest, kami memperoleh bekalan kuasa yang mencukupi melalui pembinaan PMU 500 kV baharu yang dijangka dijanakan menjelang akhir 2026,” katanya kepada media sewaktu membuat lawatan pengenalan ke IBTEC hari ini.

Faizal menambah pembangunan itu juga mempunyai kapasiti bekalan air sedia ada sebanyak 10 juta liter sehari (MLD).

Beliau berkata syarikat itu sedang membina tangki air tambahan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air masuk dan menyasarkan untuk membekalkan sejumlah 56.4 MLD selepas 2027.

Sementara itu, beliau memberitahu JLG melabur kira-kira RM400 juta bagi menaik taraf dan menambah baik jalan sedia ada yang menghubungkan Tol Sedenak ke IBTEC.

Faizal berkata kerja-kerja tersebut merupakan sebahagian daripada usaha besar infrastruktur dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menyokong pertumbuhan hab inovasi berkenaan.

“Beberapa kerja infrastruktur utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang termasuklah penyiapan jalan pintas baharu. Kami menjangkakan jalan pintas baharu itu siap pada 2028,” katanya.

Menurut Faizal, projek itu melibatkan pelebaran jalan sedia ada dari Tol Sedenak ke IBTEC serta pembinaan laluan masuk terus ke dalam kawasan pembangunan tersebut.

Beliau berkata satu lagi pembangunan utama iaitu perancangan untuk memulakan Projek Persimpangan Sedenak-Utara yang melibatkan pelaburan kira-kira RM200 juta.

-- BERNAMA