Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Tinggi Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, seiring dengan kadar asas pasaran tunai.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran mempunyai potensi untuk melepasi paras halangan pada bulan ini, disokong oleh sentimen global yang bertambah baik dan data domestik yang kukuh.
Beliau berkata hala tuju pasaran pada minggu depan akan banyak dipengaruhi oleh dua perkara penting pada peringkat global.
“Data ekonomi China bagi bulan November, yang akan dikeluarkan pada Isnin dan pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, meliputi data pekerjaan bagi Oktober dan November 2025, akan menjadi tumpuan pelabur,” katanya kepada Bernama.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Disember 2025 naik 25 mata kepada 1,645, Januari 2026 meningkat 23.5 mata kepada 1,647.5, Mac 2026 menambah 26 mata kepada 1,632.0 dan Jun 2026 menokok 22 mata kepada 1,632.0.
Jumlah dagangan mingguan pada minggu ini naik kepada 40,352 lot daripada 39,562 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 43,035 kontrak daripada 43,890 kontrak sebelum ini.
FBM KLCI meningkat 21.29 mata kepada 1,637.81 daripada 1,616.52 minggu lepas.
-- BERNAMA