BERITA TERKINI   PRK Kinabatangan, Lamag: pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini - SPR | Terbitan bon korporat Malaysia diunjurkan sebanyak RM130 bilion–RM140 bilion pada 2026, melebihi purata sejarah RM122 bilion -- RAM Ratings | PRK Kinabatangan: Sebanyak 89.42 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | PRK Lamag: Sebanyak 89.89 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | Maybank memperuntukkan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memodenkan dan memantapkan teknologinya - Presiden Kumpulan Khairussaleh Ramli | 

AI Dijangka Sumbang Tambahan Sehingga 1.2 Peratus Kepada KDNK, Bersamaan RM20 Bilion Setahun

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Sektor kecerdasan buatan (AI) dijangka memberi sumbangan tambahan antara 0.8 hingga 1.2 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, bersamaan nilai antara RM13 bilion hingga RM20 bilion setahun.

Dalam jawapan bertulis oleh Kementerian Digital yang dimuat naik di portal Parlimen, ia berkata sektor itu berpotensi mewujudkan antara 300,000 hingga 500,000 peluang pekerjaan baharu berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Malaysia juga berhasrat untuk berkembang daripada pengguna kepada pengeluar teknologi AI, dengan menumpukan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan bernilai tambah bertemakan Buatan Malaysia," katanya.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) berkenaan potensi hasil negara daripada industri teknologi baharu seperti AI, pusat data, roket dan komputer kuantum sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Digital berkata Malaysia berpotensi memperoleh manfaat besar daripada pasaran komputer kuantum global yang dijangka mencecah US$125 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan 36.89 peratus.

“Pasaran ini turut berpotensi meningkatkan KDNK, menarik pelaburan asing dan penciptaan peluang pekerjaan khusus.

“Setiap US$1 dilaburkan dalam teknologi kuantum dijangka menghasilkan US$3 dalam pulangan ekonomi, sekali gus membantu mengatasi jurang kemahiran dan mengurangkan migrasi pakar tempatan ke luar negara,” tambah Kementerian Digital.

-- BERNAMA