Niaga Hadapan MSM Melonjak Lebih RM4,500 Satu Tan, Tertinggi Sejak Oktober 2025

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, melonjak lebih RM4,500 satu tan yang juga paras tertinggi sejak Oktober lepas.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga itu didorong terutamanya oleh aliran peningkatan ketara dalam pasaran tenaga yang didorong oleh konflik Timur Tengah ketika ini.

“Kami melihat paras harga melebihi RM4,450 satu tan manakala paras rintangan seterusnya pada RM4,800 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata MSM menunjukkan ketahanan berikutan sokongan harga minyak mentah yang kukuh.

Beliau berkata harga penanda aras MSM South Asia Fastmarkets di Chicago Mercantile Exchange, telah meningkat sebanyak sembilan peratus daripada Jumaat lepas sehingga tengah hari ini.

“Pada masa sama, kalangan peserta pasaran akan memantau pengumuman Lembaga Minyak Sawit Malaysia mengenai data penawaran dan permintaan bagi Februari yang dijadualkan esok,” katanya.

Dalam pada itu, pada akhir dagangan hari ini, kontrak Mac 2026 dan April 2026 masing-masing melonjak RM204 kepada RM4,454 dan RM4,540 satu tan manakala kontrak Mei 2026 naik RM200 kepada RM4,567 satu tan.

Kontrak Jun 2026 melonjak RM184 kepada RM4,559 satu tan, kontrak Julai 2026 menambah RM170 kepada RM4,535 satu tan dan kontrak Ogos 2026 menokok RM155 kepada RM4,502 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 220,402 lot daripada 168,359 pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 237,662 kontrak daripada 224,475 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan meningkat sebanyak RM340 kepada RM4,500 satu tan.

-- BERNAMA