BERITA TERKINI   Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang bakal siap menjelang Disember 2027, beroperasi sepenuhnya Januari 2028 - Amir Hamzah | Projek ECRL capai 92.62 peratus kemajuan pembinaan setakat Feb 2026 selari jadual jajaran dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini, bakal beroperasi secara komersial bermula Jan 2027 - Amir Hamzah | Kerajaan MADANI pantau rapat krisis di Asia Barat serta impaknya terhadap ekonomi dan rakyat, kekalkan asas daya tahan ekonomi negara, pastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas - PM Anwar | Ringgit meningkat kepada 3.9260/9310 berbanding dolar AS daripada 3.9365/9410 ketika ditutup pada Jumaat lepas | Susulan krisis di Asia Barat, Jemaah Menteri bersetuju MTEN memantau situasi tersebut dan perbincangan akan diadakan secara mingguan - PM Anwar | 

RM42 Bilion Hutang 1MDB Telah Dibayar - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum selesai sepenuhnya dan jumlah obligasi kewangan 1MDB melebihi RM50 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sejak 2018 sehingga sekarang, sebanyak RM42 bilion telah dibayar untuk melunaskan hutang tersebut termasuk prinsipal dan faedah serta komitmen 1MDB.

“Hutang pasaran 1MDB yang diwarisi sejak 2018 berjumlah RM34 bilion dari segi nilai prinsipal dan melibatkan komitmen faedah kira-kira RM17 bilion.

“Ini bermakna jumlah obligasi kewangan 1MDB lebih RM50 bilion,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata daripada RM42 bilion itu, hanya RM29 bilion dapat dibiayai melalui dana hasil pemulihan aset 1MDB.

“Ini jelas menunjukkan usaha pemulihan aset tidak mencukupi untuk menampung komitmen pembayaran balik liabiliti 1MDB,” kata beliau.

Beliau berkata baki obligasi hutang 1MDB perlu melibatkan dana kerajaan berjumlah RM13 bilion.

“Ini satu kerugian besar kepada negara. Hutang 1MDB belum selesai sepenuhnya. 

“Masih terdapat baki obligasi hutang 1MDB sebanyak RM9 bilion, iaitu bayaran prinsipal dan faedah Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) sehingga 2039 merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4 bilion,” kata beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

-- BERNAMA