BERITA TERKINI   Tengku Zafrul tunjuk kesediaan untuk terus sokong kerajaan, tempoh perkhidmatan sebagai Menteri MITI berakhir hari ini | Penyasaran subsidi memastikan rakyat terus dibantu selain membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara - PM Anwar | Kerajaan tetap berpegang kepada pendekatan penyasaran subsidi RON95, tolak cadangan Bank Dunia menaikkan kepada harga pasaran - PM Anwar | PM Anwar umum RM500 juta untuk baik pulih kerosakan infrastruktur awam akibat banjir | PM Anwar bentang Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini | 

Permintaan Di Asia Pasifik Kekal Kukuh, Malaysia Terus Catat Pertumbuhan -- IATA

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Asia Pasifik kekal sebagai rantau yang paling pesat berkembang di dunia bagi sektor penerbangan, berikutan permintaan yang terus melebihi kapasiti di tengah-tengah tekanan rantaian bekalan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Naib Presiden Serantau bagi Asia Pasifiknya, Shaledon Hee berkata asas rantau itu yang kekal kukuh disokong oleh permintaan perjalanan yang teguh, aliran kargo yang berdaya tahan dan peningkatan kebolehpercayaan operasi di seluruh syarikat penerbangan. 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, aliran penumpang di Asia Pasifik meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun, manakala kapasiti pula naik 6.1 peratus.

“Apa yang penting, jumlah perolehan bagi setiap penumpang di rantau ini kini telah melebihi paras 2019,” katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini. 

Hee berkata pemulihan yang berterusan itu mencerminkan kedua-dua struktur permintaan dan landskap pasaran yang kompetitif untuk terus menarik pelancong walaupun marginnya yang rendah.  

Di peringkat global, industri itu mengunjurkan memperoleh keuntungan kira-kira US$7 bagi setiap penumpang (US$1=RM4.13), manakala bagi rantau Asia Pasifik, unjurannya hanya US$2.60 bagi setiap penumpang. 

Beliau juga berkata aliran kargo di Asia Pasifik dilihat agak mengejutkan kerana kekal berdaya tahan walaupun terdapat perubahan dalam tarif global. 

“Apa yang berubah ialah laluan perdagangan. Sepatutnya ia dari Asia ke Amerika Syarikat (AS), tetapi kami melihat aliran yang kukuh dari Asia ke Eropah, Eropah ke AS, dan intra-Asia.

“Tetapi secara keseluruhannya, kargo telah merekodkan pertumbuhan selama tujuh bulan berturut-turut sehingga September,” katanya. 

 

Malaysia: Asas dasar yang kukuh untuk fasa seterusnya 

Berbalik kepada Malaysia, Hee berkata negara itu berada pada kedudukan yang baik untuk terus mencatatkan pertumbuhan dalam penerbangan pada beberapa tahun akan datang, disokong oleh langkah dasar yang mengukuhkan kesalinghubungan dan pelancongan. 

“Bagi Malaysia, penerbangan telah menyumbang kira-kira US$14.4 bilion dalam nilai ekonomi, atau 3.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Dengan dasar dua hala yang kukuh, kemudahan visa yang diperkukuhkan, dan momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, terdapat potensi bagi sektor itu untuk terus berkembang,” katanya. 

Selain itu, katanya, kemudahan di sempadan yang lebih baik, boleh membantu Malaysia menarik lebih ramai pelancong masuk ke negara itu, dengan kesannya merentasi pelancongan, perdagangan dan sektor berkaitan penerbangan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). 

Mengulas sama ada isu berkaitan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh menjejaskan pertumbuhan penerbangan di Malaysia, Hee berkata IATA yakin Malaysia Airports Holdings Bhd menyedari mengenai kebimbangan pelancong dan memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara itu. 

“Kami ingin memaklumkan bahawa Malaysia Airports telah mengadakan pertemuan dengan kami, mereka amat maklum mengenainya dan sudah mengambil langkah untuk mengatasinya.

“Saya rasa adalah penting dalam beberapa perkara ia merupakan contoh yang praktikal dalam aspek pelaburan bahawa kami perlu memastikan keselesaan pelanggan harus diutamakan,” katanya sambil menambah IATA akan terus memastikan perbincangan terbuka mengenai perkara itu. 

Perkhidmatan aerotrain di KLIA dihentikan setiap hari bermula 9 malam hingga 7 pagi bagi kerja-kerja pembaikan, dari 15 November hingga 15 Disember. 

 

Infrastruktur dan keseimbangan kawal selia  

Mengulas lanjut mengenai pertumbuhan di rantau itu, Hee berkata pertumbuhan mesti seimbang dengan kapasiti lapangan terbang dan ruang udara yang mencukupi. 

“Terdapat pelaburan berterusan bagi membesarkan lapangan terbang di seluruh rantau ini.

“Apa yang penting, pelaburan seperti itu adalah berdasarkan permintaan sebenar dan disokong perbincangan terbuka antara kerajaan, lapangan terbang dan syarikat penerbangan,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan bahawa cukai berlebihan dan sebarang kenaikan caj lapangan terbang boleh menjejaskan permintaan di rantau itu, memandangkan marginnya sudah terlalu rendah.

Hee menjelaskan bahawa unjuran global ialah keuntungan kira-kira US$7 bagi setiap penumpang, berbanding dengan US$2.60 di Asia Pasifik, sekali gus menunjukkan margin yang sangat rendah. 

“Jumlah margin itu yang menyukarkan syarikat penerbangan untuk menyerap sebarang kenaikan kos, sama ada dari segi caj aeronautik atau caj lapangan terbang dan sebagainya. 

“Di beberapa negara, cukai pelancongan, caj aeronautikal yang lebih tinggi atau levi lain, jika dikumpul boleh menjadi beban kepada penumpang.

“Syarikat penerbangan selalunya tidak mempunyai pilihan, selain menanggung kos ini, yang berisiko mengurangkan permintaan,” kataya. 

Oleh itu, katanya, pendekatan kawal selia yang seimbang, adalah penting untuk memastikan perjalanan udara adalah berpatutan sambil menyokong kesan berganda ekonomi yang lebih luas yang disediakan oleh sektor penerbangan. 

“Kami amat terbuka untuk mengadakan perbincangan yang lebih terbuka dan telus berkaitan kos akhir yang perlu ditanggung oleh pelancong dan kami berharap sentiasa ada keterbukaan untuk menjawab segala maklum balas.

“Kami melihat ada beberapa perkara atau permintaan yang ingin dikemukakan dan kami berpendapat ia penting agar kerajaan mengambil kira kesan harga keseluruhan terhadap penerbangan,” katanya. 

Mengenai isu rantaian bekalan, Hee berkata IATA juga sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mereka bentuk penyelesaian data baharu yang boleh membantu syarikat penerbangan meramalkan corak dan memadankannya dengan keupayaan kapasiti MRO dengan lebih cekap. 

Beliau berkata, walaupun rantaian bekalan kekal mencabar, industri itu telah menunjukkan perkembangan yang baik sepanjang 18 hingga 24 bulan yang lepas. 

Menurut persatuan itu, kekangan dalam rantaian bekalan global telah mengakibatkan industri penerbangan menanggung kos dalam anggaran US$11 bilion pada 2025, iaitu salah satu cabaran operasi terbesar kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia, termasuk di rantau Asia Pasifik. 

“Walaupun berdepan dengan cabaran berterusan, kadar kebolehpercayaan telah meningkat di seluruh Asia Pasifik,” katanya. 

 

Prospek bagi 2026

Walaupun IATA secara rasminya akan mengeluarkan unjuran bagi 2026 pada 9 Disember, Hee berkata aliran semasa tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penurunan bagi rantau Asia Pasifik. 

“Unjuran awal kami menunjukkan pertumbuhan yang kukuh bagi rantau ini, dan tiada sebarang isyarat dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang menunjukkan penurunan.

“Permintaan kekal berdaya tahan,” tambahnya. 

-- BERNAMA