BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Penglibatan Malaysia Dalam BRICS Pacu Ekonomi Berkembang Lebih Pesat

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan melihat penglibatan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil dan berdaya tahan.

Kementerian Luar Negeri dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata BRICS menawarkan potensi besar untuk Malaysia mengeksport minyak sawit, getah, elektrik dan elektronik, dan perkhidmatan seperti pelancongan dan penjagaan kesihatan.

"Di samping akses pasaran, BRICS membuka ruang untuk kerjasama industri khususnya dalam bidang tenaga, mineral kritikal, dan teknologi yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. 

"Kerjasama sebegini menyokong aspirasi Malaysia dalam pertumbuhan hijau, transformasi digital, tenaga boleh baharu dan pembangunan industri bernilai tinggi," tambahnya.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu status permohonan Malaysia menyertai BRICS dan manfaat ekonomi dan kewangan dengan menyertai blok ekonomi itu. 

Kementerian Luar Negeri berkata, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara anggota BRICS bagi tahun 2024 telah mencapai RM818 bilion, iaitu 35.2 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM334.85 bilion, iaitu 45 peratus daripada jumlah eksport global Malaysia.

-- BERNAMA