WE2025: Future In Motion Lepasi Sasaran Dengan Potensi Perdagangan, Pelaburan RM109 Juta
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Sidang kemuncak kepimpinan dan pemerkasaan ekonomi berfokuskan wanita terulung di Malaysia, WE2025 Future in Motion yang diadakan dari 25 hingga 27 November mencatatkan potensi perdagangan dan pelaburan sebanyak RM109 juta, melepasi sasaran awal RM100 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, yang turut menganjurkan WE2025 bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata angka itu tidak termasuk potensi jualan tambahan dan petunjuk perdagangan daripada WE2025 Trade Expo dan acara satelit, yang menyaksikan penyertaan yang kukuh sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung.
Qube Integrated berkata lebih 200 libat urus perniagaan telah diadakan merentas pelbagai sektor, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi digital, teknologi hijau, tenaga boleh baharu, makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, serta perkhidmatan profesional.
Ia berkata syarikat-syarikat yang mengambil bahagian termasuklah dari Malaysia, Comoros, Senegal, China, Singapura, Filipina, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Kanada.
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated dan Pengerusi Penganjur Bersama Richard Teo berkata syarikat itu berasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima oleh WE2025 sepanjang tiga hari penganjurannya.
“Pengumuman yang dibuat dan peluang perniagaan yang terjalin telah meletakkan asas penting kepada usaha mengukuhkan peranan wanita dalam perdagangan, inovasi dan kepimpinan.
“Kesemua ini turut dimantapkan lagi melalui pandangan bernas yang dikongsi dalam acara satelit pada hari terakhir,” katanya.
Syarikat itu menambah pada hari ketiga WE2025, ia menampilkan beberapa acara satelit yang dinamik menekankan inovasi, kepimpinan, keusahawanan dan kerjasama serantau.
Antaranya termasuklah AI MasterClass: Mengintegrasikan AI, Kecerdasan Emosi (EQ) & Kepimpinan Wanita Antarabangsa serta Wanita Memimpin Platform Perubahan: Daripada Penjagaan Kesihatan kepada Pertumbuhan Global.
Tumpuan lain termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI): Peluang untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia; Sign of Flavour: Mencicip Kopi dan Pengalaman Bahasa Isyarat; dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Konfederasi Wanita ASEAN Pertama untuk 2025.
-- BERNAMA