BERITA TERKINI   Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian dan pasukan keselamatan, tindakan undang-undang hanya diambil kepada pegawai terlibat - PM Anwar | Semua keputusan perolehan ATM, PDRM yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya - PM Anwar | Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh - DOSM | KDNK suku keempat 2025 dijangka tunjuk pertumbuhan positif - Akmal Nasrullah | 

BMI: Pelaksanaan 5G Malaysia Dipercepat Selepas U Mobile Terima Pembiayaan RM4.3 Bilion

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pembiayaan bersindiket RM4.3 bilion yang baru diperoleh U Mobile Sdn Bhd akan membantu pengendali rangkaian telekomunikasi ini mempercepatkan pelaksanaan 5G selain memperkukuh kedudukannya dalam pasaran yang kompetitif di Malaysia.

BMI iaitu unit di bawah Fitch Solutions Group Ltd berkata penerimaan 5G di Malaysia dijangka meningkat dengan ketara sepanjang tempoh unjuran dengan kadar penembusan berkembang daripada 36.6 peratus pada penghujung 2024 kepada anggaran 75.9 peratus menjelang 2034.

"Dalam jangka masa terdekat, kami menjangkakan potensi yang kukuh untuk akses tanpa wayar 5G tetap.

"Ini bagi mengatasi jurang ketersambungan peringkat terakhir dengan perkhidmatan mudah alih yang bertumpukan pengguna dijangka berkembang pesat dalam jangka masa sederhana apabila piawaian 5G yang berdiri sendiri matang dan pelbagai peranti 5G yang mampu milik tersedia," kata BMI dalam nota penyelidikan hari ini.

BMI berkata pelan hala tuju 5G U Mobile memerlukan pembiayaan modal dan sindiket yang besar dalam tempoh beberapa tahun bagi mencapai cita-cita pelaksanaannya.

Jelasnya, pembiayaan tersebut dijangka menampung perbelanjaan modal dan modal kerja serta menyokong matlamat pengendali rangkaian telekomunikasi itu untuk mencapai liputan 80 peratus populasi menjelang pertengahan 2026.

"Pembiayaan bersindiket yang baru diperoleh ini akan menyokong usaha U Mobile untuk meningkatkan bahagian pasaran, memacu pertumbuhan purata hasil setiap pengguna dan berkembang ke dalam segmen perusahaan dan akses tanpa wayar tetap," katanya.

BMI menambah perjanjian Pengendali Rangkaian Mudah Alih Maya (MVNO) pertama pengendali itu dengan Eastel yang dijadual dilancarkan pada suku pertama tahun depan, menggariskan tumpuan strategiknya untuk menjana wang daripada aset rangkaian selain memperluas saluran pengedaran.

U Mobile menandatangani kemudahan bersindiket RM4.3 bilion dengan empat bank bagi menyokong rangkaian 5G generasi seterusnya serta mempercepatkan pengembangan ULTRA5G ke seluruh negara.

CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penyelaras pinjaman tunggal dan pengatur utama dengan pembiayaan turut disediakan oleh CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, AmBank Islamic Bank Bhd dan UOB Malaysia.

-- BERNAMA