Malaysia Diposisi Kedua Dalam Pertumbuhan Pasaran Perbankan Islam Global - StanChart
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia mencatatkan pertumbuhan 48 peratus dalam bahagian pasaran perbankan Islam antara 2000 dan 2024, meletakkan negara di posisi kedua seluruh dunia selepas Arab Saudi, menurut satu laporan oleh Standard Chartered (StanChart).
Perbankan Islam telah berkembang daripada sekadar penawaran khusus kepada segmen kewangan arus perdana, yang merangkumi lebih daripada 80 negara termasuk aset melangkaui US$5 trilion (US$1 = RM4.13), kata kumpulan perbankan itu melalui satu kenyataan hari ini yang dibuat bersempena dengan pengeluaran laporan bertajuk "Islamic Banking for Corporates : Broadening Horizons".
"Namun, kekaburan mengenai apa itu kewangan Islam seperti prinsip, struktur dan dinamik pasarannya, telah menimbulkan cabaran kepada para pemimpin korporat yang ingin melibatkan diri atau melabur dalam ruangan tersebut, dengan 65 peratus korporat menunjukkan minat terhadap penyelesaian patuh Syariah disebalik kekurangan latar belakang atau pendedahan kepada perbankan Islam," tambahnya.
StanChart berkata laporan itu mengenal pasti bahawa kekurangan pemahaman ke atas produk menjadi faktor utama yang menyekat banyak syarikat daripada mengakses US$5.5 trilion dalam aset kewangan Islam global, yang dijangka akan mencapai paras US$7.5 trilion menjelang 2028.
Jumlah penerbit sukuk korporat meningkat hampir dua kali ganda sejak 2020, mendorong kenaikan 38 peratus dalam jumlah terbitan kepada US$58.8 bilion pada 2024.
"Inovasi digital seterusnya telah mempercepatkan momentum ini. Sukuk token, penyelesaian berasaskan blok rantai dan alat pematuhan syariah dengan kecerdasan buatan akan mengubah bagaimana modal dikumpulkan dan diuruskan, pada masa yang sama, mengurangkan kos terbitan selain meningkatkan tadbir urus rentas sempadan.
"Secara serantau, Malaysia sedang memimpin usaha untuk mengintegrasikan aset digital ke dalam kewangan Islam dengan inisiatif seperti Hub Inovasi Aset Digital dan Infrastruktur Blok Rantai Malaysia," kata StanChart.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Malaysia, Bilal Parvaiz berkata kewangan Islam telah tumbuh menjadi salah satu sumber permodalan yang paling pesat berkembang di dunia dan diposisikan sebagai alat arus perdana bagi menggerakkan modal serta memacu pertumbuhan sektor swasta.
"Fokus strategik kerajaan Malaysia untuk membangunkan kedudukan negara sebagai pemimpin global dalam kewangan Islam serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan memperluaskan akses kepada penyelesaian pembiayaan hijau dan mampan termasuk Sukuk bagi menyokong korporat dengan pelan pengembangan global mereka.
"Jurang pengetahuan yang ada di kalangan korporat mengenai perbankan Islam telah membentangkan peluang yang menarik untuk bank-bank Islam," katanya lagi.
-- BERNAMA