BERITA TERKINI   Ringgit ditutup rendah kepada 3.9440/9495 berbanding dolar AS daripada 3.9225/9295 pada Isnin | Kerajaan tidak tolak ansur sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya kitab suci al-Quran - PMO | Isu hina al-Quran: PMO seru rakyat rujuk sumber benar, boleh dipercayai sebelum kongsi maklumat | Program Jualan Rahmah MADANI diteruskan sepanjang Ramadan - PMO | PM Anwar mahu KPDN perhebat Ops Pantau 2026 termasuk di bazar Ramadan - PMO | 

PM Anwar Pulang Ke Tanah Air Selepas Lakar Kejayaan Dalam Lawatan Tiga Negara Di Benua Afrika

Daripada M. Saraswathi

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas pulang ke tanah air selepas menyempurnakan siri lawatan ke tiga negara di Afrika, membuktikan usaha baharu Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan benua itu.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri berlepas dari State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta pada 7 malam waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada Selasa.

Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan serta delegasi ketua perniagaan.

Perdana Menteri mengadakan lawatan bersejarah ke Ethiopia untuk mempertingkatkan kerjasama dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di ibu negara itu, Addis Ababa.

Lawatan Anwar selama tiga hari bermula 18 November ke negara dikenali sebagai “Horn of Africa” atau Tanduk Afrika itu merupakan yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia selain sebagai lawatan balas selepas kunjungan rasmi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024.

Dari Addis Ababa, Anwar berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk lawatan kerja dari 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum menuju ke sini di Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November.

Semasa lawatan rasmi beliau di sini, Malaysia dan Kenya bersetuju untuk mempertingkatkan dan memperbaharui hubungan dua hala yang terjalin sekian lama kepada perkongsian strategik, menandakan satu lagi pencapaian bersejarah dalam hubungan diplomatik 60 tahun antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, memperluas eksport Kenya ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya, serta memperkukuh kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi.

Eksport utama Kenya ke Malaysia termasuk teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu, manakala eksport Malaysia ke Kenya kebanyakannya merangkumi minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian dan getah.

-- BERNAMA