BERITA TERKINI   Insiden kren runtuh di Kompleks Tanjung Bin: DOSH, PDRM dan Suruhanjaya Tenaga digesa lakukan siasatan rapi - TPMĀ Fadillah | Sukan SEA 2025: Perenang negara, Khiew Hoe Yean pertahan emas 200m gaya bebas lelaki | Sukan SEA 2025: Jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan menang pingat emas, pecah rekod temasya dengan lontaran 18.78m | Trio wusyu negara Lo Ying Ting, Mandy Cebelle Chen dan Sydney Chin Sy Xuan raih emas acara Duilian wanita | Sukan SEA 2025: Pasukan kriket negara menang emas acara T20 lelaki | 

Sarawak Pertingkat Tawaran Kewangan Islam Menerusi DBOS

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Pelancaran Tetingkap Perbankan Islam oleh Development Bank of Sarawak (DBOS) bukan sahaja mengukuhkan tawaran kewangannya malah juga meneguhkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan inklusif dan berasaskan nilai.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu merupakan peluang yang tepat pada masanya dan strategik untuk DBOS meletakkan Sarawak dalam ekosistem kewangan Islam global, sekali gus menandakan era baharu yang ditentukan oleh skala, kemampanan dan integrasi strategik.

“Sektor kewangan Islam global mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa pada era pascapandemik, membuka peluang baharu untuk Sarawak meletakkan kedudukannya dalam landskap kewangan Islam antarabangsa.

“Menurut laporan Standard Chartered Bank mengenai Perbankan Islam bagi Institusi Kewangan: Memanfaatkan Pertumbuhan ketika Peralihan Global, nilai aset kewangan patuh syariah termasuk perbankan Islam, sukuk dan dana pelaburan telah melepasi US$5.5 trilion pada 2024. Semua aset ini diunjurkan mencecah US$7.5 trilion (US$1=RM4.1) menjelang 2028,” katanya di sini, hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti DBOS bertemakan Memajukan Sarawak dengan Integriti, dan melancarkan Tetingkap Perbankan Islam DBOS.

Beliau berkata inisiatif itu menandakan satu langkah penting bagi DBOS dalam menempatkan Sarawak dalam ekosistem kewangan Islam global yang semakin berkembang pesat.

-- BERNAMA