BERITA TERKINI   Isu pemain warisan: Jawatankuasa Rayuan FIFA mengarahkan sekretariat segera memulakan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM   | PRN Sabah: Barisan Nasional akan lancar manifesto pada 22 Nov - Timbalan Pengerusi BN | Isu pemain warisan: Jawatankuasa Rayuan FIFA menegaskan bahawa kesalahan yang diteliti dalam prosiding ini menjejaskan asas integriti bola sepak | Isu pemain warisan: Sebarang cubaan palsukan dokumen dengan tujuan memperdaya badan pentadbir dan memintas peraturan merupakan satu pelanggaran serius - Jawatankuasa Rayuan FIFA | Isu pemain warisan: Langkah bawa kes ke CAS bagi pastikan keadilan ditegakkan, pertahan integriti proses kelayakan pemain - Pemangku Presiden FAM | 

Ringgit Meningkat Hari Ketujuh Berturut-turut Berbanding Dolar US

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US hari ini, meneruskan pengukuhan untuk hari dagangan ketujuh berturut-turut selepas para pelabur kekal positif menjelang pengundian pembukaan semula kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.1315/1385 berbanding dolar US daripada 4.1360/1395 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Dewan Perwakilan AS akan mengundi mengenai pembukaan semula kerajaan AS pada malam ini.

"Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan ditandatangani oleh Presiden AS, yang akan membuka jalan untuk menyambung semula perkhidmatan kerajaan," katanya kepada Bernama.

Ringgit terus mendapat sokongan keyakinan daripada para peniaga dan pelabur, khususnya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi suku ketiga pada 2025, yang akan diumumkan Jumaat ini, dijangka berkembang melebihi 5.0 peratus.  

"Mungkin KDNK akan mencatatkan pada 5.2 peratus untuk suku ketiga 2025, dan nampaknya kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada 2.75 peratus dalam jangka masa terdekat. 

"Ini merupakan perkembangan yang amat positif untuk ringgit dan oleh itu, mata wang tempatan itu akan terus disokong dengan baik," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. 

Ia mengukuh berbanding yen pada 2.6681/6728 daripada 2.6798/6822 yang disaksikan pada penutup Selasa, naik berbanding euro kepada 4.7801/7882 daripada 4.7829/7869 dan meningkat berbanding pound British kepada 5.4189/4281 daripada 5.4297/4343.

Ringgit juga berprestasi lebih baik berbanding mata wang ASEAN yang lain. 

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1683/1742 daripada 3.1752/1784, mantap berbanding rupiah Indonesia kepada 247.1/247.7 daripada 247.7/248.0, menokok berbanding peso Filipina kepada 6.98/6.99 daripada 7.01/7.02 dan lebih baik berbanding baht Thai kepada 12.7068/7346 daripada 12.7595/7762 sebelum ini.

-- BERNAMA