BERITA TERKINI   Baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta disalurkan semula kepada golongan rentan - MOF | 21.2 juta rakyat guna SARA untuk Semua 2025, libatkan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion - Kementerian Kewangan | SARA Bulanan 2026 libatkan 8.1 juta penerima, meningkat berbanding 5.4 juta penerima pada 2025 - Kementerian Kewangan | SARA Bulanan disalur bermula 9 Jan untuk lima juta penerima - MOF | Cukai perkhidmatan ke atas sewaan dikurangkan kepada enam peratus daripada lapan peratus - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Dalam Julat Kecil Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil minggu depan susulan sentimen kurang memberangsangkan, kata Peniaga Minyak Sawit, David Ng.

Beliau berkata ini didorong oleh jangkaan laporan hasil tanaman lebih suram dengan peniaga bersedia menerima data yang mungkin menunjukkan peningkatan pengeluaran serta paras stok simpanan, sekali gus boleh memberi tekanan lanjut terhadap harga semasa.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan pasaran diniagakan RM4,050 hingga RM4,200 (satu tan) pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas perbandingan mingguan, kontrak bulan semasa November 2025 susut RM105 kepada RM4,080 satu tan manakala Disember 2025 merosot RM111 kepada RM4,082 satu tan dan Januari 2026 berkurangan RM98 kepada RM4,109 satu tan.

Kontrak Februari 2026 susut RM85 kepada RM4,137 satu tan, Mac 2026 turun RM71 kepada RM4,157 satu tan manakala April 2026 berkurangan RM52 kepada RM4,168 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 487,131 lot daripada 469,530 lot minggu sebelumnya dan kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 264,821 kontrak daripada 264,770 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Selatan November turun RM120 kepada RM4,120 satu tan.

-- BERNAMA