BERITA TERKINI   Program Kampung Angkat Madani dan Inisiatif Sejati MADANI, perkukuh semangat menyantuni rakyat – PM Anwar | Kerajaan MADANI tegas pastikan hak Sabah terus terbela melalui MA63, keadilan Sabah diperjuang - Fahmi Fadzil | PRN Sabah: DAP bertanding di lapan kerusi DUN - Anthony Loke | Seorang lelaki maut dalam kejadian tembak di sebuah stesen minyak, di Bukit Tinggi, Klang, malam tadi - Ketua Polis Selangor | Jajaran LRT Pulau Pinang dilanjut ke Seberang Perai bagi pastikan pembangunan negeri seimbang dan dinikmati semua - PM Anwar | 

Jualan Sektor Pembuatan Naik 3.5 Peratus Kepada Rm500.1 Bilion Pada Suku Ketiga 2025

 

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Jualan sektor pembuatan mencecah RM500.1 bilion pada suku ketiga 2025, menunjukkan pertumbuhan 3.5 peratus (S2 2025: 3.4 peratus), menurut Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia bagi September 2025  

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu terutamanya disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (9.2 peratus) dan produk elektrik dan elektronik (E&E) (5.6 peratus).

“Bagi tempoh dari Januari hingga September 2025, sektor pembuatan merekodkan jumlah jualan kumulatif sebanyak RM1.5 trilion, meningkat 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat pertumbuhan 4.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jualan sektor pembuatan bagi September 2025 berjumlah RM169.3 bilion, berkembang 4.3 peratus didorong oleh subsektor makanan, minuman dan lain-lain.

“Pertumbuhan itu turut disokong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (E&E) serta subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang masing-masing meningkat sebanyak 6.4 peratus dan 2.7 peratus.

“Jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.3 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 3.8 peratus pada September 2025,” katanya.

Prestasi ini terutamanya dipengaruh oleh peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan sebanyak 7.8 peratus

Sementara itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal tumbuh 6.1 peratus dan pembuatan jentera dan peralatan yang tidak diklasifikasikan di tempat lain meningkat sebanyak 5.2 peratus.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, pertumbuhan industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 0.7 peratus.

Begitu juga dengan industri berorientasikan domestik yang meningkat 5.7 peratus pada September 2025 (Ogos 2025: 4.5 peratus), disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk pemprosesan makanan dengan 10.5 peratus, logam asas (4.8 peratus) dan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (4.1 peratus).

Industri berorientasikan domestik pula meningkat 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Bagi jumlah tenaga kerja, Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan menyediakan pekerjaan kepada 2.4 juta orang pada September 2025, bertambah sebanyak 1.0 peratus yang dipacu oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (1.9 peratus); produk elektrik dan elektronik (E&E) (1.4 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (0.9 peratus).

Seiring dengan itu, gaji dan upah sektor pembuatan meningkat 2.0 peratus berbanding tahun lalu kepada RM8.4 bilion pada September 2025, atau naik 1.7 peratus kepada RM8.26 bilion pada Ogos 2025.

Nilai jualan bagi setiap pekerja ialah RM70,126 (meningkat 3.3 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja ialah RM3,479, naik 1.1 peratus tahun ke tahun.

-- BERNAMA