BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut dalam kejadian tembak di sebuah stesen minyak, di Bukit Tinggi, Klang, malam tadi - Ketua Polis Selangor | Jajaran LRT Pulau Pinang dilanjut ke Seberang Perai bagi pastikan pembangunan negeri seimbang dan dinikmati semua - PM Anwar | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia Berkembang 5.7 Peratus Pada Sept 2025 — DOSM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Indeks pengeluaran perindustrian (IPP) Malaysia merekodkan pertumbuhan 5.7 peratus pada September 2025 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu sektor pembuatan dan perlombongan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan ini disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh sektor pembuatan iaitu 5.0 peratus (Ogos 2025: 2.8 peratus) diikuti sektor perlombongan iaitu 10.2 peratus (Ogos 2025: 16.8 peratus) dan sektor elektrik iaitu 2.8 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus).

"Perbandingan dengan Ogos 2025, IPP menyusut 0.02 peratus berbanding pertumbuhan 2.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata dalam sektor pembuatan, industri berorientasikan domestik meningkat 5.3 peratus pada September 2025 selepas merekodkan pertumbuhan 3.8 peratus pada Ogos 2025.

Momentum positif ini, katanya disumbangkan oleh pembuatan produk prosesan makanan (9.0 peratus); pembuatan logam asas (6.1 peratus) serta pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (4.5 peratus).

Begitu juga industri berorientasikan eksport pada September 2025 terus meningkat sebanyak 4.8 peratus selepas mencatatkan peningkatan 2.3 peratus pada bulan sebelumnya, jelas beliau.

"Prestasi ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus dan terus disokong oleh pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (7.4 peratus),” katanya.

Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata, peningkatan 10.2 peratus dalam sektor perlombongan pada September 2025 dipacu oleh pengeluaran bagi petroleum mentah dan kondensat yang menokok sebanyak 13.0 peratus (Ogos 2025: 11.4 peratus).

Bagaimanapun, katanya peningkatan perlahan dilihat dalam pengeluaran bagi gas asli (8.5 peratus).

Di peringkat global, menurut Mohd Uzir IPP bagi kebanyakan negara menunjukkan aliran kenaikan pada September 2025 dengan melonjak dua angka tahun ke tahun yang dicatatkan oleh Singapura (16.1 peratus), Taiwan (15.5 peratus) dan Korea Selatan (11.6 peratus).

Katanya, pertumbuhan juga dapat dilihat di China (6.5 peratus), Jepun (3.4 peratus) dan Thailand (1.0 peratus) bagi September 2025.

— BERNAMA