SC Umum Enam Syarikat Terpilih Untuk Kohort Pertama MyABE
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengumumkan enam syarikat yang dipilih untuk inisiatif kohort pertama Entiti Perniagaan ASEAN Malaysia (MyABE).
SC berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa status MyABE terdiri daripada dua kategori, MyABE-PLC untuk syarikat tersenarai awam dengan operasi serantau yang kukuh dan MyABE-MTC untuk syarikat peringkat pertengahan menunjukkan potensi kukuh untuk pertumbuhan seterusnya di ASEAN.
Tiga syarikat tersenarai awam MyABE terpilih ialah CIMB Group Holdings Bhd, IHH Healthcare Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.
Syarikat yang dipilih di bawah syarikat peringkat pertengahan MyABE adalah Aonic Sdn Bhd, MECIP Global Engineers Sdn Bhd dan NSW Automation Sdn Bhd.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata status MyABE mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang berkembang melangkaui sempadan dan mencipta nilai di ASEAN.
“Pengembangan mereka mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan memacu pertumbuhan untuk rantau yang lebih luas. Inisiatif perintis ini akan membolehkan kami memperhalusi sokongan yang diperlukan untuk lebih banyak syarikat melakukan perkara sama, pada masa sama memudahkan pergerakan bakat berkemahiran,” katanya.
Inisiatif kohort MyABE itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026.
-- BERNAMA