FBM KLCI Akhiri Sesi Pagi Dengan Pergerakan Mendatar
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini dengan pergerakan mendatar apabila aktiviti dagangan tidak menentu mengimbangi sokongan daripada prestasi kukuh pasaran serantau.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.50 mata atau 0.03 peratus kepada 1,621.05 daripada 1,621.55 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.06 mata lebih rendah pada 1,621.49 dan bergerak antara 1,620.35 hingga 1,624.29 sepanjang sesi pagi.
Sentimen pasaran secara keseluruhan merosot sedikit dengan kaunter rugi mengatasi untung, dengan 497 berbalas 446, manakala 526 kaunter tidak berubah, 1,184 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 2.34 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.64 peratus kepada 26,361.40, Indeks Kospi Korea Selatan menambah 1.48 peratus kepada 4,063.86, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 1.55 peratus kepada 50,990.91 manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.28 peratus kepada 4,473.73.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI dijangka meraih momentum hari ini, disokong oleh kemasukan semula aliran dana asing untuk hari kedua berturut-turut, namun potensi kenaikan mungkin terhad berhampiran paras rintangan 1,632–1,640.
“Pelabur menilai kemungkinan kesan daripada penutupan kerajaan Amerika Syarikat selama enam minggu, ketidaktentuan perdagangan AS-China yang berlarutan, pandangan berbeza Rizab Persekutuan AS mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah pada Disember, serta permulaan musim pelaporan pendapatan tempatan,” katanya dalam satu nota hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.94, manakala Public Bank susut tujuh sen kepada RM4.27. CIMB Group, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.50, RM13.20 dan RM8.28.
Bagi saham paling aktif, Perak Transit turun tiga sen kepada 26.5 sen, MMAG susut setengah sen kepada 10 sen, NexG menambah setengah sen kepada 30.5 sen, Borneo Oil kekal pada setengah sen manakala Tanco meningkat 1.5 sen kepada 90 sen.
Antara saham untung tertinggi, Hong Leong Industries melonjak 30 sen kepada RM14.50, United Plantations naik 14 sen kepada RM25.60, Telekom Malaysia menambah 11 sen kepada RM7.31 manakala Asia File dan Dutch Lady Milk masing-masing meningkat 10 sen kepada RM1.55 dan RM26.72.
Bagi kaunter rugi utama, Nestle susut RM3.10 kepada RM112.90, Malaysian Pacific Industries turun 44 sen kepada RM30, Petronas Dagangan dan Time Dotcom masing-masing merosot 20 sen kepada RM22.60 dan RM4.85 manakala Petronas Chemical berkurangan 15 sen kepada RM3.60.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 berkurangan 12.57 mata kepada 11,794.58, Indeks FBM Emas turun 13.56 mata kepada 12,035.36 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 1.63 mata kepada 12,047.98.
Sementara itu, Indeks FBM ACE merosot 13.54 mata kepada 5,063.41 manakala Indeks FBM Mid 70 berkurangan 56.85 mata kepada 16,872.52.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 10.14 mata kepada 8,061.48, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.17 mata kepada 168.67, Indeks Tenaga berkurangan 0.34 mata kepada 761.49 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 45.59 mata kepada 18,378.20.
-- BERNAMA