Ringgit, Mata Wang Serantau Ditutup Rendah Ekoran Konflik Geopolitik Berterusan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Ringgit dan mata wang serantau lain masih ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila pelabur melindung nilai dengan aset selamat ekoran konflik AS dan Israel dengan Iran yang semakin memuncak.
Pada 6 petang, mata wang tempatan ditutup rendah kepada 4.0280/0350 berbanding dolar AS daripada 4.0105/0140 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Mata wang serantau yang lain termasuk dolar Singapura, rupiah Indonesia dan peso Filipina turut susut berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun pasaran mengalami kebimbangan namun JP Morgan telah mengeluarkan penilaian positif dengan menyatakan Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi cabaran semasa.
“Malaysia masih merupakan pengeksport bersih minyak, dan usaha pengukuhan fiskal dalam tempoh dua tahun lepas mungkin telah menyumbang kepada penambahbaikan ruang fiskal, yang sepatutnya memberi kesan positif kepada ringgit,” katanya.
Menurut laporan Tinjauan Wang Mingguan oleh MBSB Investment Bank Bhd hari ini, dolar AS mengukuh berbanding beberapa mata wang utama minggu lepas apabila Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.5 peratus minggu ke minggu kepada 100.15 sekali gus kembali melepasi paras 100.
Dolar AS lebih kukuh berbanding mata wang utama minggu lepas susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, khususnya konflik yang sedang berlaku di Iran serta ancaman seterusnya terhadap laluan tenaga di Timur Tengah, tambah laporan itu.
Laporan itu juga menyatakan minyak mentah Brent didagangkan hampir paras tertinggi pada 2022, dan pasaran bersedia menghadapi kemungkinan konflik berlanjutan hingga April 2026, yang akan mengakibatkan kejutan bekalan berpanjangan serta penilaian semula global terhadap unjuran inflasi dan pertumbuhan.
Di samping itu, sentimen dalam pasaran pertukaran mata wang asing dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan ketiadaan rundingan untuk meredakan konflik antara kedua-dua pihak, sekali gus meningkatkan kemungkinan serangan ketenteraan, menurut laporan itu.
Pada akhir dagangan, ringgit rendah kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.3311/3403 daripada 5.3368/3414 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.5237/5282 daripada 2.5084/5109 dan susut berbanding euro kepada 4.6294/6374 daripada 4.6197/6237.
Ringgit kurang stabil berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1227/1284 daripada 3.1164/1194 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas, dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.2558/2831 daripada 12.1903/2077.
Ringgit menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 236.9/237.4 daripada 236.1/236.5 dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.65 daripada 6.62/6.63.
-- BERNAMA