BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

RM18.9 Juta Geran Beep Diluluskan Kepada 182 PMKS Sabah

PENAMPANG, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM18.9 juta bantuan kewangan menerusi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus telah diluluskan kepada 182 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah setakat ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata bantuan berbentuk geran yang disalurkan kementeriannya melalui agensinya, SME Corp Malaysia itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan keusahawanan tempatan.

Ewon berkata pencapaian BEEP dan BEEP Plus bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan mikro di kawasan bandar dan luar bandar, tetapi juga memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan kapasiti perniagaan.

"Lebih penting, program ini menjadi pemangkin dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur, dengan menumpukan kepada pembangunan usahawan bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya berucap merasmikan Sesi Ramah Mesra dan Hari Terbuka Hab PMKS Sabah di sini hari ini.

Program BEEP bertujuan meningkatkan daya saing PKS Bumiputera melalui bantuan bersepadu yang merangkumi khidmat nasihat, sokongan teknikal, latihan serta bantuan kewangan sehingga RM500,000, manakala BEEP Plus yang dibiayai di bawah dana Mikro MADANI menawarkan geran padanan sehingga RM250,000 khusus bagi perusahaan mikro Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Pada majlis sama, Ewon turut menyampaikan cek cura berjumlah RM1.3 juta kepada 18 penerima BEEP 2.0, BEEP Plus dan TUBE.

SME Corp telah meluluskan 44 permohonan geran BEEP 2.0 dari Sabah berjumlah RM7.42 juta, manakala Program BEEP Plus telah memberi manfaat kepada 197 syarikat mikro milik bumiputera di Sabah dan Sarawak, dengan 138 syarikat iaitu 70 peratus daripadanya adalah dari Sabah dengan jumlah kelulusan geran sebanyak RM11.48 juta.

-- BERNAMA