Kerajaan Masih Mampu Tampung Subsidi RON95, Sedia Selaras Dasar
IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Kerajaan ketika ini masih mampu menampung jumlah subsidi bagi petrol RON95, namun bersedia melakukan pelarasan dasar mengikut keperluan semasa sekiranya kos terus meningkat akibat krisis di Asia Barat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah bersiap siaga itu penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara kekal mapan tanpa mengetepikan kebajikan rakyat, meskipun berhadapan dengan risiko lonjakan harga minyak mentah dunia.
"Buat masa ini (subsidi) masih ditampung, tetapi kita perlu bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan. Tiada mana-mana negara di dunia mampu bertahan dengan mengekalkan kaedah ekonomi yang sama sekiranya kos terus meningkat.
"Kita harus beranjak mengikut keperluan supaya ekonomi secara keseluruhan terus berada dalam keadaan baik. Ini tidak bermakna kita mengetepikan hak dan kebajikan rakyat kerana dasar akan berubah mengikut keadaan semasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Satelit: Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) 2.0 Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di sini hari ini.
Muhammad Kamil berkata Malaysia yang mengikuti rapat perkembangan krisis di Asia Barat masih mampu bertahan hasil langkah penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
"Keupayaan tersebut daripada situ dan lonjakkan harga ataupun kos itu bukan kecil, daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan. Ini satu angka yang besar dan jangan pula kita nafikan fakta dan kebenarannya," katanya.
Mengulas mengenai keuntungan Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia, beliau menjelaskan walaupun harga minyak mentah naik memberi pulangan kepada negara, Malaysia juga perlu mengimport minyak bagi menampung keperluan domestik.
"Kena ingat kita bukan hanya gunakan minyak daripada Petronas, kita import minyak untuk tampung keperluan kita. Apakah boleh keseluruhan keuntungan daripada Petronas itu digunakan untuk tampung harga minyak dalam negara kita ini?
"Bukan begitu kaedahnya kerana dividen yang diberikan ada jumlah tertentu dan itulah yang digunakan untuk menampung keperluan kita mengawal harga minyak serta bagi tujuan lain seperti pengurusan operasi Petronas itu sendiri," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai cadangan taklimat khas kepada pemimpin pembangkang minggu depan, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan langkah itu sebagai tindakan yang sewajarnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang menghimpunkan kepimpinan tertinggi pentadbiran setiap negeri termasuk pimpinan parti politik dalam taklimat khas yang dijangka diadakan minggu depan dalam menghadapi krisis Asia Barat.
-- BERNAMA